Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Sedia peluang pekerjaan cara lebih baik bantu belia bayar PTPTN

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menyambut baik pengumuman kerajaan Sarawak untuk membantu penduduk negeri tersebut yang menghadapi kesukaran membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Bagaimanapun, Maszlee berpandangan langkah yang lebih baik untuk menangani perkara itu ialah dengan kerajaan negeri menyediakan peluang pekerjaan dengan bayaran gaji yang tinggi.

Menurut Maszlee, langkah tersebut bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan golongan terbabit tetapi dapat membantu rakyat secara keseluruhannya untuk menyara kehidupan.

“Kita mengalakkan semua pihak majikan, swasta dan juga kerajaan negeri mana-mana pun untuk melunaskan bayaran hutang pekerja mereka dan mereka akan dapat pelepasan cukai.

“Tapi pada saya bagi kerajaan negeri selain daripada insentif, elok kita berusaha untuk menyediakan peluang kerja dengan bayaran yang lebih tinggi kerana itu adalah lebih mapan dan lebih akan meningkatkan taraf ekonomi rakyat, bila mereka ada gaji lebih tinggi mereka boleh membayarnya (pinjaman PTPTN).

“Yang lebih penting kita inginkan (adalah) kelangsungan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Maszlee mengulas pengumuman Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Tun Openg ketika pembentangan Belanjawan Negeri 2020 untuk memperuntukkan RM30 juta kepada anak negeri tersebut yang menghadapi kesukaran membayar balik pinjaman PTPTN.

Bagaimanapun, Maszlee tidak menolak usaha Sarawak itu membawa kebaikan kerana ia bukan sahaja dapat membantu peminjam yang tidak berkemampuan tetapi memberi kelebihan kepada pembayar yang akan dilepaskan daripad cukai seperti yang diumum sebelum ini.

Lihat Komen
ADS