Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sekarang Dr M kata M'sia tak tahu di mana Jho Low
Diterbitkan:  Nov 6, 2019 2:55 PM
Dikemaskini: 7:00 AM

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan tidak tahu di mana Low Taek Jho berada dan oleh kerana itu tidak mengadakan rundingan dengan ahli perniagaan dikehendaki itu.

Ini bercanggah dengan kenyataan beliau dan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador serta beberapa yang lain sebelum ini yang mendakwa tahu di mana lokasi Jho Low. 

Mahathir membuat dakwaan itu dalam satu temu bual dengan akhbar Financial Times (FT), yang diterbitkan secara atas talian hari ini, di luar acara Sidang Kemuncak Asean di Bangkok.

Wartawan koresponden FT Singapura dan Malaysia, Stefania Palma bertanya beliau jika Malaysia sedang menjalankan rundingan dengan Low secara langsung untuk mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB.

"Tiada (rundingan dengan Low). Kita tidak mempunyai hubungan dengan dia. Kita tidak tahu di mana dia,"kata Mahathir.

Perkara itu ditanya selepas penyelesaian dicapai antara Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low dan pihak berkuasa AS.

Beliau juga tidak memberikan respon secara langsung apabila ditanya sekiranya perjanjian Low dengan Amerika Syarikat - yang akan membawa Jabatan Keadilan AS (DOJ) mendapatkan semula aset dan dana yang dikaitkan dengan skandal itu bernilai lebih AS$ 1 bilion- sebagai sesuatu yang mengejutkan.

"Nah, jumlah (didakwa disalahgunakan dari 1MDB oleh Low) lebih besar. Ini hanya sebahagian daripada wang yang digunakan oleh Jho Low untuk membeli hartanah. Jadi kami masih mahu mendapatkan bakinya".

Perjanjian dengan Amerika Syarikat itu bagaimanapun tidak membebaskan Low dan keluarganya daripada sebarang kesalahan jenayah dalam skandal tersebut.

Low berada di sebuah pulau

Jun tahun lepas, Mahathir menyatakan Malaysia tidak mempunyai perjanjian ekstradisi di negara di mana Low dipercayai bersembunyi.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Daim Zainuddin yang juga penasihat rapat Mahathir pada Ogos tahun lepas juga berkata pihak berkuasa negara ini tahu di mana Jho Low berada.

Baru-baru ini, dilaporkan bahawa Low yang menghadapi pertuduhan di Amerika Syarikat dan Malaysia berhubung kes 1MDB, memperoleh kewarganegaraan Cyprus. 

Laporan itu juga mendakwa beliau bersembunyi di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kedua-dua laporan itu dinafikan Abdul Hamid Bador.

Hamid, dipetik Free Malaysia Today berkata Jho Low kini berada di sebuah pulau.

Lihat Komen
ADS