Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Noraini bidas parti politik kempen guna nama PAC di Tg Piai
Diterbitkan:  Nov 6, 2019 4:52 PM
Dikemaskini: 8:52 AM

PRK TG PIAI | Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Dr Noraini Ahmad hari ini membidas tindakan parti bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang menggunakan prosiding badan parlimen itu mengenai Sistem Cukai Jalan (RC) / Permit Kenderaan Masuk (VEP) sebagai bahan kempen mereka.

Menurut beliau, pihaknya masih belum selesai menjalankan prosiding siasatan hal itu dan hanya boleh membentangkan dapatan mereka di Dewan Rakyat setelah segala laporan dimuktamadkan.

"Justeru, adalah sesuatu yang amat tidak bertanggungjawab untuk mengaitkan mana-mana pihak dengan prosiding ini atau menggunakan nama PAC Parlimen sebagai bahan kempen dalam PRK Tanjung Piai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, berdasarkan peraturan parlimen keterangan yang diambil di hadapan sesebuah jawatankuasa pilihan khas dan apa-apa surat yang dikeluarkan tidak boleh disiarkan kepada sesiapa sebelum jawatankuasa itu membawa penyata tersebut kepada Dewan Rakyat.

"Atas sebab itu, semua penyataan dan dokumen yang dibentangkan dalam prosiding PAC Parlimen adalah berstatus rahsia dan tidak boleh dibincangkan di luar prosiding," tegasnya.

Beliau juga menjelaskan jawatankuasa PAC tidak mempunyai kuasa pendakwaan dan menentukan sama ada pihak yang dipanggil menjadi saksi terbabit dalam sebarang kesalahan ataupun tidak.

"Kehadiran semua saksi di hadapan PAC Parlimen adalah untuk membantu Jawatankuasa dalam menjalankan prosiding bukan sebagai pihak yang dituduh dalam kegiatan jenayah atau rasuah," katanya.

Calon BN Wee Jeck Seng bertemu penduduk Tanjung Piai.

Beliau dipercayai merujuk kepada laporan polis yang dibuat terhadap calon BN Wee Jeck Seng yang didakwa mempunyai kaitan dengan siasatan yang dilakukan oleh PAC ke atas projek VEP.

Pada semalam, satu laporan polis telahpun dibuat ke atas Wee di daerah Pontian yang mengaitkan penglibatannya dengan prosiding PAC dalam kes Permit Kenderaan Masuk.

Berdasarkan laporan polis yang dilihat Malaysiakini, ia dibuat oleh individu yang mengetuai pusat pengundian Parit Haji Ismail di Tanjung Piai.

Walaupun tiada parti dinyatakan dalam laporan tersebut, namun ia dipercayai dilakukan oleh Bersatu.

Laporan polis tersebut merujuk kepada siasatan PAC ke atas VEP dan meminta pihak polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat kaitan Wee dengan projek tersebut.

VEP adalah merupakan permit yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan yang membenarkan kenderaan asing masuk ke negara ini.

Kontrak tersebut telah dianugerahkan pada 2015 oleh bekas menteri pengangkutan dan Presiden MCA, Liow Tiong Lai kepada syarikat TCsens- yang mana Wee merupakan antara pemegang saham terbesar ketika itu.

Menurut laporan audit kebangsaan pada 2017, projek tersebut yang melibatkan dua kontrak iaitu kontrak perbelanjaan modal (Capex) dan kontrak perbelanjaan operasi (Opex) masing-masing bernilai RM45.15 juta dan RM104.3 juta.

Syarikat tersebut juga dilaporkan telah memberikan kontrak Opex kepada pihak ketiga walaupun tidak dibenarkan berbuat demikian.

Laporan audit tersebut juga menyatakan peralatan yang bernilai lebih RM4.07 juta tidak dipasang. 

Lihat Komen
ADS