Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tempoh reman Sosma mungkin dipendekkan - Muhyiddin

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata tempoh penahanan maksimum 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) mungkin akan dipendekkan kepada 14 hari.

Menurut Muhyiddin, ini kerana kabinet berpandangan tempoh 28 hari itu terlalu lama untuk seseorang ditahan reman tanpa melalui perbicaraan di mahkamah.

“Ada beberapa fasal yang dicadangkan supaya kita teliti dengan lebih mendalam.

“Satu perkara adalah berkenanan tempoh reman. Akta memperuntukkan 28 hari (maksimum), namun ramai kata itu terlalu lama dan perlu disingkatkan.

“Namun, pihak penguatkuasa seperti polis berpandangan kalau tangkapan berkaitan keganasan, mereka memerlukan masa lebih lama untuk mengkaji supaya keputusan dibuat itu tepat.

“Jadi, ada yang mencadangkan kita bagi 14 hari, untuk menyambung 14 hari lagi mesti diputuskan mahkamah. Itu satu contoh untuk wujudkan semak dan imbang, tidak terus beri kuasa penuh kepada polis,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas hasil mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya semalam, yang memutuskan untuk meminda undang-undang drakonian (zalim), termasuk Sosma secepat mungkin.

Muhyiddin turut mengesahkan rang undang-undang untuk meminda Sosma akan dibawa ke parlimen pada Mac tahun depan, berikutan belum sempat menyiapkan usul pindaan itu pada sesi Dewan Rakyat kali ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata perkara lain yang perlu diperhalusi adalah mengenai peruntukan yang boleh dimanipulasi untuk kepentingan politik.

“Fasal lain adalah yang berkaitan (kesalahan) melakukan sesuatu yang dianggap mensabotaj ekonomi dan lain-lain, seperti kes Maria Chin Abdullah dan Matthias Chang yang didapati dibuat atas keputusan politik.

“Kita nak elakkan perkara itu timbul, jadi ada cadangan supaya bahagian itu juga kita pinda atau ditiadakan,” jelasnya.

Kementerian Dalam Negeri, kata Muhyiddin, masih membuka ruang kepada mana-mana pihak yang mahu memberikan pandangan berhubung pindaan Sosma, sebelum membentangkan usul pindaan kepada kabinet dan parlimen.

Sementara itu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim hari ini berkata beliau menyokong langkah kerajaan untuk meminda undang-undang zalim, termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan bukan bertindak membatalkannya.

“Kita tidak kata kita batalkan Sosma, tetapi beberapa peruntukan yang jelas bertentangan dengan prinsip kebebasan dan kemanusian dari segi due proses itu harus dipinda, itu jelas.

“Dan, oleh yang demikian kita zahirkan kegelisahan kerana cara tindakan dibuat berdasarkan undang-undang yang kita tak bersetuju, tetapi saya selalu berlapik, jangan bagi gambaran seolah-olah polis atau pasukan keselamatan ringankan masalah jenayah dan keganasan,” katanya di lobi parlimen.

Malah, menurut Anwar pihak polis harus bertindak secara profesional.

“Soalnya undang-undang itu ada di bentuk oleh parlimen dulu dan diguna pakai oleh pentadbiran sekarang. Ini harus dibetulkan, sebab itu kita sambut baik keputusan yang diumumkan oleh perdana menteri,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pihak berkuasa boleh bertindak tegas jika ia membabitkan isu yang serius.

“Kalau kesnya itu lontar bom, saya tiada simpati. Tapi kalau kesnya dia pakai baju IS atau dia Whatsapp saya fikir janganlah dibebankan sehingga seluruh keluarga derita kerana satu kesilapan teknikal yang kecil, kemudian berulang dengan kes sepertimana kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dalam konteks yang sama,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir menegaskan kerajaan akan meminda undang-undang drakonian, termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) secepat mungkin.

Mahathir berkata pindaan itu yang sudah lama tertangguh perlu dilakukan kerana dibimbangi akan disalah guna.

Lihat Komen
ADS