Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jho Low dikesan cuba beli harta di Cyprus guna nama orang lain - IGP
Diterbitkan:  Nov 6, 2019 6:54 PM
Dikemaskini: 10:54 AM

Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dikesan dipercayai cuba membeli harta di Cyprus dengan menggunakan nama individu yang tidak dikenali, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata maklumat berkenaan diperoleh selepas pihaknya menahan beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan Jho Low dalam tempoh beberapa minggu lepas.

“Hasil daripada tangkapan, kami berjaya merungkai dan mendapatkan maklumat Jho Low sedang berusaha membeli harta di negara berkenaan.

“Kami ada membuat tangkapan secara diam-diam (beberapa minggu lepas),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Buku Manual Siasatan Jenayah Komersial dan Buku Arahan Penyiasatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Maktab Polis Diraja Malaysia di Cheras, di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mendakwa pihak berkuasa menganggarkan RM18.9 bilion aset milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih belum dikenal pasti setakat ini hingga melibatkan lima negara.

Berdasarkan perkara itu, Abdul Hamid berkata Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla) Bukit Aman giat berusaha mengkaji petunjuk baharu berkaitan Jho Low.

“Pasukan Amla giat bekerja siang dan malam mengkaji petunjuk-petunjuk yang ada (termasuk isu Cyprus ini),” katanya.

Ditanya, sama ada pihak polis berhubung dengan dengan pihak Cyprus berhubung kes Jho Low yang dilucutkan hak kerakyatannya di Cyprus, Abdul Hamid menjelaskan polis tidak berhubung dengan negara berkenaan setakat ini.

“Saya tidak berkomunikasi dengan pihak Cyprus. Tidak pernah ada, namun mungkin itu adalah tindakan yang sepatutnya dilakukan oleh sesebuah negara berdaulat,” katanya.

“Sudah tahu individu itu (Jho Low) dikehendaki oleh InterpoI (Polis Antarabangsa) dan notis merah, sepatutnya negara itu akur," katanya.

Abdul Hamid berkata beliau tidak ada komunikasi terus dengan polis negara luar, sebaliknya hanya mengetahui melalui laporan akhbar sahaja.

"Saya sudah katakan, mustahil Jho Low boleh keluar daripada persembunyiannya dari negara itu. Dia masih di situ bersembunyi,” katanya.

Abdul Hamid berkata beliau juga tidak bermaksud menyamakan Jho Low dengan beruang, sebaliknya alasan yang diberikan Jho Low melakukan pembedahan plastik adalah alasan yang tidak boleh diterima.

“Saya tidak bermaksud sedemikian, alasan-alasan yang diberitahu susah untuk menjejak Jho Low antaranya kemungkinan dia melakukan pembedahan plastik. Itu yang saya bangkitkan di Tawau, Sabah (baru-baru ini).

“Sekiranya alasan dia menjalani pembedahan sehingga boleh berubah, alasan sebegini saya tidak boleh terima,” tegasnya.

Dalam pada itu, ditanya jika polis gagal membawa pulang Jho Low sehingga penghujung tahun ini, Abdul Hamid berkata tahap kesabarannya masih ada dan pihaknya sudah melakukan pelbagai usaha untuk bekerjasama dengan negara berkenaan.

“Tetapi saya amat kecewa apabila permintaan saya tidak dilayan dengan memberikan pelbagai alasan, sedangkan kami sudah beri kerjasama yang baik kepada negara berkenaan,” katanya.

Pada 4 Nov lepas, Abdul Hamid menyifatkan tindakan negara tertentu yang melindungi Jho Low disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Negara berkenaan juga mengambil pendekatan enggan memberi kerjasama kepada Malaysia sekali gus menyukarkan tugas pihak berkuasa.

- Bernama

Lihat Komen
ADS