Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Hari 32: Peguam selesai satu hal utama dalam pemeriksaan balas bekas CEO 1MDB

LANGSUNG | Perbicaraan ke atas Najib Razak terus bersambung pada hari ini.

Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bekas perdana menteri itu dibicarakan di depan hakim Lawrence Collin Sequerah, dengan Muhammad Shafee Abdullah bertindak sebagai ketua pasukan pembelaan.

Hari ini Shafee akan menyambung soalan balas ke atas saksi kesembilan pendakwaan, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB itu sudah memberi keterangan sebagai saksi selama 20 hari, atau kira-kira satu per tiga daripada keseluruhan perbicaraan kes Najib setakat ini.

Empat belas hari daripada tempoh itu berlangsung dengan Shahrol menjawab soalan-soalan pihak pembelaan.

Shahrol mula memberi keterangan - termasuk kepada pihak pendakwaan - sejak 7 Okt lalu.

LANGSUNG

6.05 petang: Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung hari ini.

Laporan oleh Hariz Mohd dan Hidir Reduan Abdul Rashid. Gambar oleh Azneal Ishak. Kemas kini media sosial oleh Ewe Linq Yenn.

Jika anda suka liputan kami, sokong media bebas dengan menyertai program langganan untuk serendah RM0.55 sehari. Maklumat lanjut di sini.


5.40 petang: Ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa dia telah selesai satu aspek utama dalam pemeriksaan balas dengan bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Dia kemudian memohon agar mahkamah membenarkan prosiding hari ini ditamatkan lebih awal berbanding waktu dijadualkan, 6.15 petang. Ia bagi membolehkannya memulakan aspek baru ketika pemeriksaan balas Isnin ini.

Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian memberitahu mahkamah akan bersambung Isnin ini pada sembilan pagi, 30 minit lebih awal daripada biasa, memandangkan Najib Razak dan pasukan pembelaan kemudian perlu menghadiri prosiding di depan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang akan menyampaikan keputusannya sama ada Najib perlu membela diri dalam kes SRC atau tidak.


5 petang: Ketua pasukan pembelaan membuat permohonan lisan kepada mahkamah untuk mendapatkan laporan yang disediakan firma audit Deloitte berkenaan penilaian nota murabaha yang dimiliki 1MDB dalam asetnya.

Berdasarkan pemeriksaan balas peguan dengan bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 1MDB pada 2013 mendapatkan khidmat Deloitte dan satu lagi firma audit KPMG untuk mengurangkan risiko dalam pelaburannya dalam nota murabaha.

Shahrol berkata Deloitte telah membuat penilaian bebas terhadap nota itu, yang dinilainya antara RM4.7 bilion dan RM6.3 bilion.

Bagaimanapun ketika Shafee bertanya sama ada dia boleh membawa dokumen itu ke mahkamah, saksi pendakwaan kesembilan itu berkata dia tiada laporan itu.

Shafee kemudian membuat permohonan rasmi untuk pendakwaan mendapatkan dokumen itu, yang dikatakannya sebagai dokumen "penting untuk menentukan nota murabaha itu ada sebarang nilai".


4.35 petang: Bekas CEO Shahrol Azral Ibrahim Halmi menganggap Jho Low sebagai saluran hubungan yang boleh dipercayai antaranya dengan bekas perdana menteri Najib Razak.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee bertanya Shahrol mengapa dia tidak mengambil langkah tambahan, seperti memeriksa dengan lembaga pengarah 1MDB, sebelum setuju untuk syarikat itu berkenaan pemindahan dana berperingkat ke 1MDB-Petrosaudi Limited antara Mei dan OKtober 2011.

Shahrol berkata dia bergantung kepada pernyataan Jho Low berkenaan perkara itu.

Ketika itu Najib juga berperanan sebagai pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Shafee: Bukankah lebih cermat jika anda membawa perkara itu kepada lembaga pengarah, atau periksa dengan Najib sendiri?

Shahrol: Pada masa itu, saya menganggap Jho Low sebagai saluran yang boleh dipercayai menghubungkan saya dengan Najib.

Shafee: Anda tidak ambil langkah tambahan untuk periksa itu itu atau periksa dengan lembaga pengarah.

Shahrol: Tidak.


3.35 petang: Ketua DPP Gopal Sri Ram membantah corak pemeriksaan balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah terhadap bekas CEO 1MBD Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Gopal memberita hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa pasukan peguam Najib perlu menyatakan rasional cara soalan mereka terhadap Shahrol.

Pemeriksaan balas antara Shafee dengan Shahrol sudah berlangsung selama 15 hari, bermula 7 Oktober lalu.

Sebelum ini Shafee dilaporkan berkata pembelaan telah meliputi separuh daripada soalan yang ingin ditanyakan kepada Shahrol.

"Kita mendengarnya dengan sabar. Pasti ada destinasi dan rasional daripada kawan saya yang bijaksana (Shafee). Mereka perlu nyatakannya," kata Sri Ram yang merupakan bekas hakim mahkamah persekutuan.

Shafee kemudian menjelaskan, pembelaan cuba mengetahui sama ada Shahrol dan pihak lain dalam 1MDB sengaja menutup mata dan berpakat dengan Jho Low.

Muhammad Shafee Abdullah

Sepanjang pemeriksaan balas pembelaan cuba melakarkan Jho Low sebagai individu utama di belakang urusan 1MDB dan Najib tidak sedar akannya.

"Isunya keseluruhan 1MDB - CEO, akauntan (Mohamed Radhi) dan yang lain.

"Walaupun sangat jelas kepada mana-mana pembaca, keraguan (Shahrol berkenan tranksaksi melibatkan berbilion ringgit yang keluar masuk dari 1MDB) tidak diberitahu.

"Jika ini satu pembohongan profesional, Shahrol boleh berkata walau dengan hal itu (dia) tiada syak wasangka.

"Saksi sama (Shahrol) membuat tuduhan sama terhadap anak guam saya (Najib). Tuduhan (yang Najib) kenal Jho Low.

"Saya ingin dia (Shahrol) jilat ludahnya sendiri," kata Shafee berhubung sebab dia sentiasa membangkitkan dokumen sama untuk menyoal Shahrol.

Sequerah mengarahkan Shafee agar tidak mengambil masa terlalu lama dalam merujuk dokumen itu, dan tiada keperluan untuk membaca keseluruhan dokumen itu sekali lagi.

"Ia agak panjang, tak perlu baca (keseluruhan)," katanya. Shafee setuju dengan arahan itu.


3.25 petang: Soalan balas peguam bela Najib ke atas Shahrol Azral Ibrahim Halmi kini bertumpu kepada isu pemindahan dana AS$330 juta (RM1 bilion) secara berperingkat-peringkat oleh 1MDB ke satu akaun pada 2011.

Ketua pembelaan bertanya mengenai kejadian yang berlaku pada Mei tahun berkenaan apabila 1MDB mengarahkan AmIslamic Bank memindahkan AS$65 juta yang sepatutnya pinjaman tambahan kepada PSI Holdings.

Berdasarkan soalan balas tersebut mahkamah diberitahu bank berkenaan bertanya kepada 1MDB apabila mendapati nombor akaun yang diberikan untuk pemindahan itu tidak sama dengan yang sepatutnya, iaitu PSI Holdings.

Shahrol bersetuju dia tahu kemudiannya bahawa nombor akaun tersebut - yang ada di bank JP Morgan Chase dan diberikan oleh Tarek Obaid - sebenarnya milik Good Star Ltd (Good Star).

Good Star ialah syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan buruan polis, Jho Low, atau nama sebenarnya Low Taek Jho.

Berhubung kejadian itu Shafee meminta penjelasan daripada Shahrol kerana ia adalah kali kedua "kesilapan" berlaku. Kali pertama ialah apabila 1MDB memindahkan AS$700 juta ke akaun yang sama pada 2009.

Sebelum ini mahkamah dimaklumkan pihak pengurusan 1MDB tidak tahu siapa pemilik akaun bank tersebut ketika dana sebanyak AS$700 juta dipindahkan.

Ia sepatutnya dimasukkan ke akaun syarikat usahasama 1MDB-Petrosaudi Holdings (Cayman) Ltd.

Bagaimanapun Shahrol memberitahu, dia tidak menghafal nombor akaun Good Star, justeru bekas CEO 1MDB itu tidak mengesannya sewaktu menandatangani arahan pindahan pada 2011.

Ditekan lebih lanjut oleh Shafee sama ada kejadian itu adalah kecuaian di pihak 1MDB, Shahrol menafikannya.

Shafee: Kamu menghantar sejumlah besar wang milik 1MDB. Bukan sedikit. Kita sekarang bukan lagi bercakap tentang wang berjuta, tapi berbilion. Tidak memastikan siapa sebenarnya Good Star adalah satu kecuaian

Shahrol: Saya tak setuju.

Shafee: Adakah kamu bersetuju berlaku kecuaian di pihak kamu?

Shahrol: Tak setuju.


3.02 petang: Shahrol Azral Ibrahim Halmi menggambarkan individu yang pernah menjadi peguam umum 1MDB, Jasmine Loo, sebagai sedang menyembunyikan diri.

Shahrol berkata demikian selepas ketua pembelaan Najib bertanya sama ada saksi kesembilan pendakwaan itu pernah berjumpa Loo sejak skandal 1MDB terbongkar.

Jasmine Loo dan Casey Tang.

Shafee: Adakah kamu tahu di mana Jasmine Loo (sekarang)?

Shahrol: Dia dalam persembunyian.

Shafee: Kamu tak ada berhubung dengan dia?

Shahrol: Tidak.

Selain Jho Low, pihak berkuasa - termasuk Bank Negara - memang sedang mencari Loo serta beberapa individu lain yang menjadi rakan ahli perniagaan terbabit bagi membantu siasatan kes 1MDB.

Selain peguam itu, pihak berkuasa turut memburu bekas pengarah eksekutif 1MDB, Casey Tang, dan pengarah syarikat sama, Terence Geh.


2.33 petang: Perbicaraan sesi petang bermula.


12.40 tengah hari: Perbicaraan berhenti rehat dan akan disambung semula pada jam 2.30 petang.


12.35 tengah hari: Beberapa bunyi deringan telefon semasa perbicaraan berlangsung mendapat perhatian hakim hari ini.

Ekoran itu Sequerah mengeluarkan amaran bahawa mahkamah tidak akan teragak-agak untuk mengarahkan polis merampas telefon genggam jika berlaku insiden seumpama itu.

Kata Sequerah, rampasan akan diarahkan dibuat tanpa mempedulikan siapa pun pemilik telefon berkenaan.


11.53 pagi: Bekas CEO 1MDB tidak bersetuju apabila peguam bela Najib mencadangkan lembaga pengarah syarikat itu mengesyorkan pemegang saham utamanya menandatangani perjanjian bagi memberi pelaburan tambahan bernilai RM1 bilion dalam syarikat usahasama 1MDB-Petrosaudi.

"Saya tak bersetuju lembaga pengarah (mencadangkan) Najib menurunkan tandatangan," kata Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Shahrol juga berkata, tidak betul untuk menanggap anggota BOD 1MDB secara tersirat menyarankan Najib menandatangani persetujuan berkenaan.

Terdahulu Shahrol ditanya mengenai perenggan 311 kenyataan saksi terbabit berhubung Resolusi Pemegang Saham Utama Boleh Tebus Hak bertarikh 16 Mei 2011.

Dalam keterangannya itu Shahrol mengaku Najib - atas kedudukannya sebagai menteri kewangan ketika itu - menandatangani satu perjanjian untuk membuat pelaburan tambahan tersebut melalui Perjanjian Pembiayaan Murabaha.


11.45 pagi: Perbicaraan pagi ini menyaksikan Shafee dan Shahrol berbalas kata berhubung kelulusan diberi ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB untuk pinjaman tambahan bernilai RM1 bilion kepada PSI Holdings pada 16 Mei 2011.

Hal itu berlaku ketika Shafee menyoal saksi pendakwaan tersebut dengan memfokuskan resolusi pekeliling pengarah (DCR) ditandatangani BOD syarikat berkenaan.

Berdasarkan DCR tersebut, minit berkenaan ditandatangani pada 16 Mei 2011 yang bersamaan tarikhnya dengan mesyuarat BOD 1MDB di London.

Menurut Shahrol, hal DCR itu dibangkitkan semasa mesyuarat dan semua anggota BOD menandatangani dokumen berkaitan selepas mesyuarat berakhir.

Kenyataan itu mendorong Shafee bertanya kepada bekas CEO 1MDB berkenaan mengenai keperluan DCR apabila anggota BOD sudah bermesyuarat.

"Kamu tahu, DCR tidak mengandungi perbincangan. Bagaimana DCR berfungsi ialah, apabila kamu tidak dapat bermesyuarat, kamu keluarkan DRC.

"Tapi di sini pengarah-pengarah menghadiri mesyuarat, (mereka) berada di meja yang sama, semua hadir (tapi) mengapa hal ini tidak dibincangkan?" tanya Shafee.

Peguam terbabit juga menyatakan, tiada bukti DCR dibincangkan oleh anggota BOD semasa pertemuan tersebut kerana minitnya tidak menyatakan ia berlaku.

Bagaimanapun Shahrol menafikan cadangan Shafee berkenaan. Kata saksi kesembilan itu, anggota BOD menyedari sepenuhnya DCR tersebut namun ia tidak dicatatkan dalam minit mesyuarat apabila ia sudah dibincangkan dalam mesyuarat lebih awal.

Shafee kemudian mencadangkan kepada Shahrol bahawa hal itu tidak berlaku, sebaliknya DCR berkenaan tidak pernah dibangkitkan dalam mesyuarat berkenaan.

Sekali lagi Shahrol menafikannya.

"Saya tidak bersetuju sama sekali," katanya.


9.55 pagi: Tertuduh memasuki mahkamah dan menunggu perbicaraan bermula.

Sebelum itu Najib menghadiri proses sebutan semula kesnya - membabitkan dakwaan mengubah laporan audit 1MDB - di mahkamah tinggi berlainan. 

Lihat Komen
ADS