Ramli tegur penggunaan bahasa rojak di Dewan Rakyat
Ahli Parlimen yang suka mencampur-adukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris ketika berucap di Dewan Rakyat ditegur kerana tindakan itu mencemarkan Bahasa Melayu.
Ahli Parlimen yang suka mencampur-adukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris ketika berucap di Dewan Rakyat ditegur kerana tindakan itu mencemarkan Bahasa Melayu.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Ramli Ngah Talib Selasa membuat teguran itu kerana mendapati kebelakangan ini beberapa ucapan anggota parlimen sering diselang-selikan dengan Bahasa Inggeris.
"Bukan sahaja ini tidak sedap didengar, tetapi lebih serius lagi ialah ia mencemarkan bahasa itu," katanya dalam ucapan ringkas sebelum memulakan sidang Dewan Rakyat pagi ini.
Ramli berkata kecenderungan mencampur-adukkan bahasa timbul antaranya didorong oleh faktor berpengetahuan lebih daripada satu bahasa atau merasakan perkataan Bahasa Inggeris mampu memberikan penerangan yang lebih baik lagi kepada daya fikirannya daripada menggunakan Bahasa Melayu.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, walaupun ada kalangan anggota parlimen berpengetahuan lebih daripada satu bahasa, tetapi perbuatan melompat daripada satu bahasa ke satu bahasa hanya menggambarkan kekurangan penguasaan mereka terhadap bahasa tersebut.
"Ia juga mencerminkan kurang yakin dirinya kepada Bahasa Melayu untuk memberi gambaran kepada sesuatu daya pemikiran," katanya.
Bahasa Melayu lengkap
Ramli berkata sejarah membuktikan bahawa Bahasa Melayu merupakan bahasa yang lebih tua berbanding bahasa Inggeris dan satu bahasa yang cukup lengkap.
"Saya tidak menyatakan bahasa lain tidak boleh digunakan. Rujukan kepada sesuatu perkara dalam bahasa Inggeris umpamanya boleh dibuat, diikuti dengan memberi maksud kepadanya dalam Bahasa Melayu. Rujukan bolehlah dibuat umpamanya kepada perkara-perkara yang difikir satu bahan rujukan seperti kata-kata pujangga dan sebagainya," katanya.
Sebaliknya, Ramli berkata sebahagian besar daripada perkataan-perkataan Bahasa Inggeris yang digunakan anggota dewan ketika berucap mempunyai perkataan-perkataannya dalam bahasa Melayu.
"Jika mencampur-adukkan bahasa di peringkat ini tidak dibendung, Bahasa Melayu akan tercemar dan kewibawaannya akan tergugat," katanya.
Beliau berkata apa yang penting ialah memastikan apa yang dituturkan di dalam Dewan itu difahami oleh rakyat yang menjadi golongan sasar, baik yang berada di dalam mahupun di luar dewan.
"Jika bahasa dicampur-adukkan saya percaya lebih daripada 90 peratus pengundi di luar bandar tidak akan memahaminya. Jika sasaran tidak sampai kuranglah faedahnya kita memperkatakan sesuatu, sama ada dalam dewan ini mahupun di luar," katanya.

