K’jaan masih teliti Akta Rahsia Rasmi dan Akta Kebebasan Maklumat
PARLIMEN l Kerajaan masih meneliti dan belum membuat sebarang keputusan berhubung Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Kebebasan Maklumat, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Mohamed Hanipa Maidin berkata kerajaan ketika ini sedang membuat pertimbangan sama ada perlu menghapus, menambah baik Akta Rahsia Rasmi 1972, atau mewujudkan kedua-dua akta secara bersama.
"Tujuannya untuk kita mengimbangi, ‘strike the balance to offset’ kalau apa yang dilihat kekerasan ataupun elemen-elemen yang mungkin ada tidak begitu baik, Akta Rahsia Rasmi itu dapat dikurangkan dalam Akta Kebebasan Maklumat.
"Kerajaan hari ini (Pakatan Harapan/PH) komited mempertahankan hak Perlembagaan. Jadi kita (PH) adakan Akta Kebebasan Maklumat, pada masa sama sedang kaji Akta Rahsia Rasmi 1972 yang dibuat kerajaan Barisan Nasional," katanya pada sesi soal jawab lisan hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang ingin tahu adakah rahsia rasmi masih berada di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Kebebasan Maklumat.
Pada 18 Julai lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Akta Kebebasan Maklumat akan digubal bagi menggantikan Akta Rahsia Rasmi 1972.
Menurut Dr Mahathir, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) yang bermesyuarat pada tarikh itu bersetuju secara prinsip bahawa tempoh masa yang mencukupi harus diberikan kepada proses penggubalan undang-undang itu.
Mengulas lanjut, Mohamed Hanipa berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah berhubung Akta Rahsia Rasmi 1972, tetapi kerajaan sebelum ini telah menyalahgunakan akta itu.
"Dulu Akta Rahsia Rasmi digunakan untuk melindungi kezaliman, penyalahguna kuasa, bukan melindungi maklumat sulit. Sekarang kita mencari ‘balance’ (keseimbangan) untuk menyelesaikan masalah itu," katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah) yang ingin tahu kaedah bagi mengekang penyebaran maklumat sensitif.
- Bernama

