Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Bantuan kerajaan saja tak cukup naikkan taraf masyarakat India’

Bantuan kerajaan pusat sahaja tidak mencukupi untuk menaik taraf kehidupan masyarakat India di Malaysia.

Sebaliknya, ia perlu satu tindakan afirmatif secara menyeluruh untuk mencapai sasaran.

Pakar politik masyarakat India di Malaysia S Pasupathy menekankan bahawa tindakan berdasarkan kumpulan sasaran lebih penting berbanding tindakan berdasarkan kaum.

"Sejarah kita (kaum India) berbeza dengan kaum Melayu dan Cina. Kita dari bekerja di ladang mula berhijrah ke bandar tanpa asas yang kuat. Masyarakat India tidak boleh dibandingkan dengan Melayu dan Cina.

"Pemberdayaan yang berterusan sangat penting. Kerajaan tidak boleh lari daripada membantu golongan yang ada keperluan seperti kumpulan B40.

"Pada masa yang sama, bahagian lain seperti komuniti, tempat ibadat, swasta perlu memainkan peranan masing-masing untuk menaik taraf kehidupan dari segi ekonomi, sosial dan selaras dengan perkembangan negara," katanya kepada Malaysiakini.

Xavier Jayakumar 

Beliau mengulas kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar yang menyatakan bahawa masyarakat India di Malaysia perlu bijak mengambil peluang di sektor swasta serta menceburi perniagaan.

Xavier dalam ucapan majlis makan malam bersama media sempena perayaan Deepavali baru-baru ini berkata bahawa lebih kurang 70 peratus masyarakat India berada bawah paras kemiskinan dengan pendapatan seisi keluarga tidak melebihi RM3,000 akibat terus dipinggirkan oleh kerajaan terdahulu.

"Jumlah kita (masyarakat India) sangat kecil. Hanya dalam tujuh peratus. Dan dalam masa akan datang ia tetap akan berkurang. Tapi, daripada jumlah kecil ini lebih kurang 70 peratus, di mana pendapatan isi rumahnya di bawah RM3,000 sahaja."

"Walaupun, Kerajaan Pakatan Harapan masih berkerja keras untuk memastikan masa depan kaum India terjamin, Naib Presiden PKR itu meminta masyarakat India perlu menceburi perniagaan dan juga peluang yang terdapat di sektor swasta," katanya.

Menyentuh kenyataan Xavier, Pasupathy yang juga pengarah MySkills berkata bahawa ia akan mengambil masa yang panjang sekiranya masyarakat India menunggu bantuan kerajaan.

"Memang benar. Kerajaan merupakan peranan paling besar dan penting dalam membangungkan taraf hidup sebuah komuniti. Tapi, ia tidak mencukupi kalau menjadi bantuan sehala. Ia perlu jalan dua hala.

"Kalau kerajaan menjaga golongan B40, kumpulan lain perlu berusaha cara lain seperti menceburi perniagaan, mencari peluang di swasta dan bidang lain," katanya.

"Ia akan membantu memperkasakan masyarakat India secara terusan tanpa henti lebih cepat berbanding kalau kita hanya menunggu bantuan daripada kerajaan sahaja," jelasnya lagi.

Lihat Komen
ADS