Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tokoh pembangkang Kemboja dilepaskan
Diterbitkan:  Nov 7, 2019 11:30 PM
Dikemaskini: 3:30 PM

Malaysia membebaskan tokoh pembangkang Kemboja yang hidup dalam buangan, Mu Sochua dan dua yang lain selepas menahan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Mu merupakan naib presiden pembangkang daripada Parti Penyelamat Nasional Kemboja (CNRP) yang diharamkan dan hampir memenangi pilihan raya umum 2013 ketika menentang kerajaan pimpinan Hun Sen.

Ketiga-tiga warga Kemboja itu ditahan di pusat tahanan sementara di KLIA, kata Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Jerald Joseph kepada The Star.

"Mereka dibebaskan dan sedang dalam perjalanan ke sebuah hotel, ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan," katanya malam ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Khairul Dzaimee Daud juga mengesahkan Mu kini dibenarkan memasuki Malaysia tetapi tidak mendedahkan alasan penahanan pada awalnya.

Namun, beliau enggan mengulas lebih lanjut tentang mengapa mereka ditahan pihak berkuasa.

Dua lagi warganegara Kemboja yang lain ditahan petang Isnin ketika sedang menunggu penerbangan ke Thailand.

Terdahulu hari ini, Menteri Luar, Saifuddin Abdullah mengesahkan Malaysia mahu menemubual Mu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kemudian berkata Malaysia sedang cuba mencari negara lain yang sanggup menerima pemimpin pembangkang Kemboja itu.

Beliau berkata kerajaan Malaysia tidak mahu ‘​​​​​​​bergesel’ ​​​​​​​dengan kerajaan lain kerana ia bukan urusan negara ini.

Sementara itu, ketua parti Mu, Sam Rainsy, yang berikrar kembali ke negara asalnya untuk memimpin demonstrasi menentang pemerintahan kukubesi, mengatakan beliau dihalang menaiki penerbangan dari Paris ke Bangkok pada Khamis.

Lihat Komen
ADS