Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M harap dapat cari negara lain untuk pemimpin pembangkang Kemboja

Malaysia cuba mencari negara lain yang sanggup menerima pemimpin pembangkang Kemboja yang hidup dalam buangan, Mu Sochua, yang ditahan oleh pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan Malaysia tidak mahu ‘​​​​​​​bergesel’ ​​​​​​​dengan kerajaan lain kerana ia bukan urusan negara ini.

Wanita berusia 65 tahun, yang juga naib presiden Parti Penyelamat Nasional Kemboja (CNRP) yang diharamkan di negara itu, dilaporkan ditahan oleh Jabatan Imigresen ketika tiba di KLIA dengan menggunakan pasport Amerika Syarikat, hampir tengah malam tadi.

"Kami mahu mengusirnya tetapi ada orang minta dia datang ke sini….kini kami cuba mencari mana-mana negara yang boleh menerimanya.

“Oleh kerana mereka melakukan jenayah di negara lain, tindakan diambil (ditahan) bukan kerana jenayah yang mereka lakukan di sini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan​​​​​​​ mesyuarat ​​​​​​​Jawatankuasa Nasional Janji Kerajaan) di Perdana Putra, di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Mu Sochua dihalang masuk ke Thailand selepas ditahan selama beberapa jam oleh pihak Imigresen negara itu selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi pada 20 Okt lalu.

Kejadian berlaku menjelang kepulangan beberapa pemimpin pembangkang yang hidup dalam buangan termasuk pengasas CNRP, Sam Rainsy sempena sambutan Hari Kemerdekaan Kemboja, Sabtu ini.

Ditanya mengenai pemimpin pembangkang Kemboja yang datang Malaysia untuk mendapatkan nasihat daripadanya kerana melihat Malaysia sebagai inspirasi mereka, Dr Mahathir berkata pada dasarnya, anggota ASEAN tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara anggota lain.

“Kami tidak mahu mereka menggunakan Malaysia sebagai pangkalan untuk memperjuangkan hak mereka di negara lain,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS