Caged tak akan ditakutkan dengan siasatan polis, kata jurucakapnya
Jurucakap Kumpulan Tindakan Masyarakat Mengenai Kehilangan Paksaan (Caged), Rama Ramanathan berkata beliau tidak akan diintimidasi selepas disiasat pihak polis berhubung satu artikel yang ditulisnya.
Beliau dilaporkan memberitahu media di Bukit Aman bahawa beberapa anggota telah memberikan reputasi yang buruk kepada pasukan keselamatan itu.
Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa Rama disoal selama lebih satu jam di Bukit Aman.
"Polis kemudian pergi ke apartmennya tanpa waran dan mengambil komputer riba dan telefon beliau," dakwa sumber itu.
Rama kini membuat laporan di balai polis Sentul dengan ditemani rakan peguamnya.
Difahamkan beliau disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.
Ini berikutan artikel yang ditulis dalam sebuah blog pada 20 Okt di mana beliau berkata kakak kepada aktivis Jufazli Shi Ahmad mungkin memainkan peranan penting dalam menghalang abangnya daripada menjadi mangsa 'kehilangan paksa".
"Saya fikir tumpuan sebenar adalah pada semua perkara yang saya telah tulis sejak kebelakangan ini mengenai cadangan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dan kehilangan paksa, tetapi artikel ini mudah bagi mereka untuk jadikan sasaran," Kata Rama, menurut laporan dalam Free Malaysia Today.
Beliau berkata polis memilih "untuk menggunakan kuasa mereka untuk menakut-nakutkan dengan memberitahu kami bahawa mereka mempunyai kuasa dan mereka boleh hubungi kami bila-bila masa yang mereka mahu".

