Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib akan cabar pelantikan peguam wakili k'jaan dalam saman cukai LHDN

Bekas perdana menteri Najib Razak mencabar kesahan pelantikan seorang peguam persendirian veteran untuk mewakili kerajaan dalam saman cukai berjumlah RM1.69 bilion terhadapnya.

Susulan itu, pendengaran permohonan Najib untuk menangguhkan saman itu untuk menunggu rayuan penilaian semula cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri, yang dijadualkan hari ini ditangguhkan.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah menyatakan hasrat anak guamnya untuk mencabar pelantikan DP Naban ketika prosiding terbuka di depan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Ahmad Bache.

Ia selepas pertikaian antara Shafee dan Naban berhubung sama ada Naban perlu menunjukkan surat pelantikan rasmi kepada Shafee.

Shafee mahu Naban menunjukkan surat itu di mahkamah atas dasar defendan ada hak untuk menuntutnya, seperti dalam keputusan Mahkamah Persekutuan Ogos lalu.

Pada 7 Ogos, panel tujuh hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menafikan permohonan Najib untuk membatalkan pelantikan peguam dan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri RAm sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes jenayahnya, termasuk perbicaraan kes 1MDB yang sedang berjalan.

Bagaimanapun panel hakim membenarkan sebahagian daripada permohonan Najib, iaitu agar pendakwaan menunjukkan salinan surat pelantikan Gopal kepada pasukan pembelaan.

Naban hari ini bagaimanapun berkata, pelantikannya untuk bertindak bagi pihak kerajaan dalam saman cukai itu dibuat berdasarkan Seksyen 24(3) Akta Prosiding Kerajaan 1956.

Ketika pertikaian antara Naban dan Shafee berterusan, keadaan menjadi panas sehingga Ahmad bache terpaksa masuk campur untuk menenangkan keadaan.

"Order, order. Biar dia (Naban selesaikan hujahnya)," katanya.

Kedua-dua pihak kemudian dipanggil ke kamar Ahmad bache, sebelum prosiding diteruskan tak lama kemudian. Shafee kemudian membuat pengumuman berkenaan niat Najib untuk mencabar pelantikan Naban.

"Kami mencabar pelantikan itu sendiri, kesahan pelantikan," kata Shafee.

"Kedua, pengguguran juga akan dibangkitkan kerana kami (pasukan peguam Najib) baru dimaklumkan bahawa kawan saya yang bijaksana (Naban) bertindak dalam konflik kepentingan dalam kes lain, yang melibatkan pihak sama seperti anak guam saya," katanya lagi.

Naban yang duduk bersama peguam pihak kerajaan yang lain kemudian bangun dan mengambil maklum berkenaan hak Shafee untuk mencabar pelantikannya.

"Dia telah mendakwa saya ada konflik (kepentingan), maka saya perl menjawabnya (diberi hak sewajarnya untuk membalas cabaran itu). Permohonan terus perlu dibuat," katanya lagi.

Ahmad Bache menetapkan 29 November untuk pengurusan kes.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, Shafee mendakwa mereka hanya diberitahu hari ini bahawa seorang peguam persendirian akan bertindak untuk pihak kerajaan dalam saman terhadap Najib itu.

"Kami akan membuat permohonan (rasmi) untuk mencabar kesahan (pelantikan Naban).

"Ada konflik kepentingan apabila cukai pendapatan LHDN (saman terhadap Najib) dan dia (Naban) dan firma guamannya turut mengendalikan (kes) cukai pendapatan terhadap LHDN," katanya lagi.

Kerajaan memfailkan saman tersebut terhadap Najib pada 25 Jun lalu.

Dalam saman itu, kerajaan menuntut Najib membayar RM1,692,872,924.83, faedah atas jumlah wang berkenaan pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga kes selesai, kos dan apa-apa relif yang sesuai oleh mahkamah.

https://www.malaysiakini.com/news/482582

Dalam pernyataan tuntutannya, kerajaan berkata Najib gagal membayar cukai pendapatan dari 2011 hingga 2017 dalam tempoh 30 hari dari tarikh penyampaian notis taksiran.

Maka jumlah yang perlu dibayar bagi setiap tahun dinaikkan 10 peratus.

Ia juga berkata Najib telah diberi tempoh 60 hari untuk membayar cukai itu, bersama-sama kenaikan 10 peratus, tetapi tetap gagal berbuat demikian.

Susulan itu, Najib dikenakan tambahan kenaikan lima peratus, menjadikan jumlah yang perlu dibayar ialah RM1,692,872,924.83.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS