Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB S'gor tolak dakwaan PeBT sekadar 'grup WhatsApp' bemotif politik

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menolak tanggapan yang mengatakan persatuan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) di negeri itu sebagai sekadar 'grup WhatsApp' bermotifkan politik.

Jelas, Amirudin, PeBT yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri Selangor berperanan hampir sama dengan ketua kampung.

"PeBT punya struktur yang hampir sama dengan ketua kampung dan ia adalah sebagai satu pemangkin, bukan pesaing pun kepada majlis belia dan mereka harus bekerjasama di peringkat tempatan dan akar umbi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pembukaan Sisarasa di Rumah Seni Selangor, semalam.

Amirudin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Adun Sungai Panjang Mohd Imran Tamrin yang mempersoalkan peruntukan berjumlah RM5.3 juta diberikan kerajaan negeri kepada PeBT.

Pada 2 Nov lalu, Adun Umno itu dilapor media sebagai berkata bahawa PeBT tidak mempunyai struktur dan hanyalah sama seperti belia dalam grup WhatsApp saja.

Mohd Imran turut mendakwa bahawa penyaluran peruntukan untuk PeBT adalah bagi kepentingan parti politik pemerintah di Selangor.

Mengulas lanjut, Amiruddin berkata, kenyataan yang dilontarkan oleh Adun Umno itu tidak wajar dan tuduhan seumpanya pernah dilemparkan sebelum ini.

“Kalau dulu (pentadbiran terdahulu) mereka beri (peruntukan) kepada Majlis Belia Selangor atas niat politik dan sebagainya.

“Sebab itu kita buka (penglibatan dalam PeBT) bukan hanya kepada anak muda Pakatan Harapan sahaja, ia harus melibatkan gabungan semua anak muda yang ada.

“Ada yang minat persatuan kompang yang tidak berdaftar, ada yang minat skateboard, ada persatuan kumpulan gig, tetapi mereka terlibat jadi PeBT.

“Tugas PeBT mencantum yang formal dan informal dalam satu program yang disusun oleh kerajaan negeri,” katanya.

PeBT ditubuhkan sebagai usaha kerajaan negeri Selangor untuk menggerakkan program-program pembangunan belia di seluruh negeri berkenaan.

Menurut garis panduan penubuhannya, PeBT juga bertindak sebagai jentera pelaksana kerajaan negeri dalam melaksanakan dasar-dasar berkaitan pembangunan belia di peringkat akar umbi.

Pengerusi PeBT peringkat zon dipilih melalui cadangan yang dikemukakan Adun atau ahli majlis yang kemudiannya diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan dan Penamatan peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Calon seterusnya perlu menjalani tempoh percubaan selama enam bulan sebelum mendapat pengesahan menteri besar.

Lihat Komen
ADS