Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Zahid tak anggap kenyataan kes basikal lajak hina mahkamah

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak menganggap kenyataannya berkenaan pembebasan tertuduh kes basikal lajak sebagai tindakan menghina mahkamah.

Ahmad Zahid juga menyifatkan bahawa kenyataanya berhubung perkara itu dipolitikkan oleh pihak kerajaan.

“Saya telah berikan jawapan itu, saya tak sentuh sistem perundangan atau pihak yang berkuasa seperti hakim dan jawatan lain.

“[..] tapi jelas soal bagaimana masalah teknikal (dalam kes itu) dijadikan alasan. Saya tak hina mahkamah, saya fikir ini adalah isu yang dipolitikkan oleh pihak kerajaan," katanya ketika ditemui pemberita pada sesi ramah mesra bersama pengundi di pekan Kukup di Johor hari ini.

Tambanya, beliau juga yakin perkara tersebut tidak akan memberi kesan kepada pengundi BN di Tanjung Piai menjelang pilihan raya kecil (PRK).

Ahmad Zahid dilaporkan mempertikai keputusan mahkamah berhubung kes berkenaan dalam satu ceramah di Tanjung Piai pada 7 November lalu.

"Apabila lapan kanak-kanak main basikal di Johor dilanggar oleh seorang wanita, wanita itu dibebaskan seolah-olah tiada bukti.

"Kanak-kanak itu mati dan jadi arwah," katanya, membuatkan seorang hadirin melaungkan perempuan itu patut dihukum gantung.

Walaupun Ahmad Zahid tidak menyatakan secara jelas mengenai pemandu wanita tersebut, namun kritikan mengenai keputusan mahkamah itu dipercayai merujuk pada latar belakang tertuduh yang berbangsa Cina.

Ditanya pemberita berkenaan laporan polis yang dibuat Ketua Pemuda PH Johor, Taqiuddin Cheman susulan kenyataannya itu, Ahmad Zahid berkata sesiapa juga bebas berbuat demikian.

Jelasnya, beliau tidak pernah menyebut siapa yang perlu dijatuhkan hukuman namun menurutnya, sekadar menekankan persepsi masyarakat.

“Tidak apa, semua bebas untuk buat apa-apa tindakan, oleh itu adalah kenyataan yang dipolitikkan.

“Saya tidak pernah menyentuh institusi perundangan dan saya tak pernah menyebut pun siapakah yang perlu dijatuhkan hukuman.

“[..] tetapi apa yang saya tekankan adalah suara hati bukan hanya ibu bapa kehilangan lapan anak tetapi persepsi masyarakat keseluruhan tentang apa yang berlaku kepada anak-anak terlibat dalam kemalangan itu," katanya.

Terdahulu, media melaporkan, PH membuat laporan polis terhadap Ahmad Zahid dan menggesa pihak polis mengambil tindakan terhadap presiden Umno itu.

Pada 28 Oktober lalu, Mahkamah Majistret Johor Bahru melepas dan membebaskan Sam Ke Ting 24, tanpa memangilnya untuk membela diri selepas pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Dalam penghakimannya, Siti Hajar berkata keputusan itu bersandarkan beberapa faktor, antaranya situasi jalan berbukit yang gelap dan berselekoh di mana pemandu tidak boleh menjangka terdapat kumpulan berbasikal di jalan itu pada pukul tiga pagi.

Siti Hajar dalam penghakimannya berkata keadaan bahaya itu sendiri dicipta oleh kumpulan basikal lajak tersebut.

Beliau juga berkata siasatan mendapati Sam tidak berada di bawah pengaruh alkohol, tidak menggunakan telefon dan memakai tali pinggang keledar ketika memandu, dan itu membuktikan dia memandu secara bertanggungjawab dan berhati-hati.

Lihat Komen
ADS