Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH buat laporan polis terhadap Zahid
Diterbitkan:  Nov 8, 2019 9:18 PM
Dikemaskini: 1:18 PM

Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis terhadap Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berhubung kenyataan beliau mengenai keputusan mahkamah majistret membebaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu baru-baru ini.

Ketua Pemuda PH Johor, Taqiuddin Cheman dalam satu kenyataan berkata Ahmad Zahid mempersoalkan pembebasan pemandu berkenaan, mencetuskan ketegangan dan mencabar integriti mahkamah.

Sehubungan itu mereka menggesa pihak polis mengambil tindakan terhadap Presiden Umno itu dengan membuat laporan di ibu Pejabat Polis Daerah Pontian.

Berucap dalam ceramah di Tanjung Piai baru-baru ini, Ahmad Zahid mempersoalkan keputusan Mahkamah Majistret Johor Bahru membebas dan melepaskan wanita berkenaan daripada tuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Feb, dua tahun lalu.

"Apabila lapan kanak-kanak main basikal di Johor dilanggar oleh seorang wanita, wanita itu dibebaskan seolah-olah tiada bukti.

"Kanak-kanak itu mati dan jadi arwah," katanya.

Walaupun Ahmad Zahid tidak menyatakan secara jelas mengenai bangsa pemandu wanita tersebut, namun kritikan mengenai keputusan mahkamah itu berkisar kepada latar belakang tertuduh yang berbangsa Cina.

Selepas keputusan itu, media sosial hangat dengan dakwaan pemandu tersebut adalah orang Cina atau "bangsa DAP" sehingga mempengaruhi keputusan hakim.

Kenyataan itu turut mendorong Anggota Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh menggesa Ahmad Zahid didakwa kerana menghina mahkamah.


Lihat Komen
ADS