PRK TG PIAI | MCA membidas Pakatan Harapan (PH) kerana memberi kad SIM pra-bayar secara percuma semasa ceramah umum di Tenggayun, Pontian, Johor, malam tadi.

Menurut presidennya, Wee Ka Siong, pengacara majlis pada ceramah tersebut secara terbuka mengumumkan kepada hadirin agar mengambil sim kad berkenaan di kaunter khas yang disediakan.

"Tumpang tanya, ini kebetulan terancang lagi ke? Bolehkah Kerajaan PH menggunakan cara ini untuk memancing undi? Halal ke haram?,” tulisnya di Facebook.

Menurut jurukamera KiniTV, Baharudin Suarnur, sim kad berkenaan yang bernilai RM10 diedarkan ketika awal ceramah.

Wee secara sinis berkata beliau boleh menjangka alasan yang akan diberikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Bersih berhubung perkara itu.

"Harapkan Bersih atau SPR ambil tindakan? hahaha.

"Saya rasa dah boleh ramal alasan yang bakal diberikan. Ia pastinya akan berbunyi, ‘setakat ini kita belum mendapat sebarang aduan’.

“Bukankah perdana menteri dah kata peruntukan disalurkan ke Tanjung Piai semasa PRK cuma kebetulan.

“Manakala dua orang menteri kanan PH kata pemberian bantuan semasa PRK bukan satu kesalahan. Jadi dah tahu kesudahannya, buat apa nak membuat aduan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Sebelum ini beberapa menteri kabinet dikritik selepas mengumumkan peruntukan dan pemberian bantuan kepada penduduk di kawasan Tanjung Piai.

Kerajaan Johor juga menangguhkan pemberian wang tunai sebanyak RM1,000 kepada nelayan di kawasan itu sehingga pilihan raya kecil itu selesai.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat ini merekodkan 64 kesalahan pilihan raya  dilakukan parti-parti bertanding sepanjang kempen berlangsung.