Tinjauan yang dijalankan oleh Institut Reuters untuk Kajian Kewartawanan mendapati Malaysiakini merupakan portal pilihan utama Malaysia untuk berita dalam talian bagi tahun ketiga berturut-turut.

Menurut Digital News Report 2019 institut itu, 44 peratus responden kaji selidik itu menggunakan Malaysiakini sebagai sumber berita mereka sepanjang minggu lalu, manakala 23 peratus sejak tiga hari lalu atau lebih.

The Star Online berada di tempat kedua diikuti oleh Astro Awani Online.

 

Sementara itu, Radio Television Malaysia (RTM) dianggap sebagai organisasi media paling dipercayai di Malaysia, dari tempat kelapan tahun sebelumnya.

Malaysiakini menduduki tempat kelima, turun satu tempat dari tahun lepas dan hanya mendahului The Star, tetapi berada di belakang empat stesen TV - RTM, Astro Awani, NTV7 dan Berita TV3.

Tinjauan ini dilaksanakan oleh YouGov antara Januari hingga awal Februari 2019.

Jumlah responden Malaysia tidak dimaklumkan tetapi institut itu mengatakan bahawa ia mewakili populasi dalam talian setiap negara.

"Turut penting untuk diambil perhatian bahawa kaji selidik dalam talian bergantung kepada penarikan semula, yang sering tidak sempurna atau tertakluk kepada bias. Kami telah berusaha untuk mengurangkan risiko ini melalui ujian soal selidik yang teliti.

"Pada masa sama, tinjauan dapat menjadi cara yang baik untuk mencatat penggunaan media yang terfragmentasi merentas platform (contohnya media sosial, mesej, aplikasi, dan laman web), dan mengesan aktiviti dan perubahan dari masa ke masa," kata institut itu melalui laman webnya.

Malaysia hanya dimasukkan dalam Laporan Berita Digital (Digital News Report) bermula tahun 2017.

Baca laporan penuh Digital News Report 2019.