Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Utusan Malaysia muncul semula 2020, kata menteri
Diterbitkan:  Nov 10, 2019 11:14 AM
Dikemaskini: 3:14 AM

Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof memaklumkan, akhbar Utusan Malaysia akan membuat kemunculan semula tahun depan.

Menurut laporan di New Straits Times, Redzuan memberitahu perkara itu di sebuah program di Tenggayun, Johor semalam semasa berkempen untuk pilihan raya kecil (PRK) di Tanjung Piai.

"Utusan masih ada. Ia akan dilancarkan semula, Insya-Allah, sekitar tahun baru (2020)," katanya secara ringkas.

Akhbar bahasa Melayu tertua negara itu menghentikan operasinya sejak 9 Okt lalu, susulan masalah kewangan yang dihadapinya.

Satu lagi akhbar terbitan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Kosmo! turut mengalami nasib sama.

Perkara itu dimaklumkan oleh satu memo dalaman bertarikh 9 Oktober 2019 yang dilihat Malaysiakini.

Menurut memo itu, Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu (M) Bhd, Abdul Aziz Sheikh Fadzir, berkata syarikat itu tidak lagi solven (mampu membayar hutang) untuk meneruskan perniagaan, walaupun telah melaksanakan beberapa langkah untuk menyelamatkannya.

"Oleh yang demikian, syarikat akan memberhentikan operasi berkuat kuasa pada Rabu, 9 Oktober 2019.

"Sehubungan dengan itu, tarikh akhir bekerja tuan/puan telah ditetapkan pada Rabu, 9 Oktober 2019, manakala tarikh akhir perkhidmatan ialah pada Khamis, 31 Oktober 2019," kata memo itu.

Sementara itu, Redzuan berkata Utusan Malaysia akan dilancarkan semula bagi membantu menyalurkan maklumat berhubung pelaksanaan dasar kerajaan.

"Ada yang telah dilakukan dan ada yang sedang dijalankan sekarang," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS