Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KJ: BN jangan terlalu yakin dengan sokongan Cina

PRK TG PIAI | Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengingatkan BN supaya jangan terlalu yakin sudah meraih undi kaum Cina di Tanjung Piai.

Jelasnya, beliau risau terhadap perang saraf yang bakal digunakan oleh DAP bagi meraih undi kaum berkenaan.

“Walaupun kita nampak, kehadiran pengundi Cina semakin meningkat di program BN, jangan terlalu yakin.

“Jentera jangan terlalu yakin sebab saya risau dengan perang saraf yang diguna DAP,” katanya ketika ditemui pemberita di sesi ramah mesra bersama pengundi di Serkat hari ini.

Berdasarkan pemerhatian Malaysiakini, terdapat beberapa perbezaan ketara antara ceramah PH dan BN semalam di Pekan Nenas, sebuah kawasan dengan majoriti pengundi Cina.

Sementara itu, tapak program ceramah dua gabungan politik itu pula hanya kira-kira enam minit berjalan kaki.

MCA berjaya menarik lebih 600 hadirin dengan lebih separuh daripada yang hadir memakai pakaian rasmi parti untuk mendengar ceramah termasuk daripada presiden parti, Wee Ka Siong, timbalan presiden Mah Hang Soon dan ketua pemuda Nicole Wong.

Jumlah hadirin di tapak program PH pula lebih kecil, iaitu kira-kira 300 hadirin meskipun menampilkan nama-nama pemimpin utama PH seperti pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir

Sementara itu, Khairy juga menasihati supaya partinya lebih banyak memberikan fokus kepada kawasan majoriti Cina.

“Kita kena tumpu banyak masa di kawasan Cina terutama dalam empat, lima hari yang akan datang ini.

“Ini untuk memberi jaminan kepada pengundi Cina walaupun sekarang Umno sudah ada Muafakat Nasional dengan PAS tetapi kita akan terus jaga kepentingan kaum-kaum minoriti,” katanya.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai seramai 52,986 pengundi berdaftar.

Pengundi Melayu merangkumi 56.88 peratus pemilih manakala pengundi Cina pula sebanyak 41.52 peratus

PRK Tanjung Piai diadakan selepas penyandangnya, bekas timbalan menteri di JPM, Dr Md Farid Md Rafik, 42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu.

PRK itu juga menyaksikan pertembungan enam penjuru antara calon BN Wee Jeck Seng, calon PH Karmaine Sardini serta Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa), Wendy Subramaniam (Gerakan) dan calon bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

SPR menetapkan tarikh mengundi pada 16 November manakala hari pengundian awal pada 12 November. 

Lihat Komen
ADS