Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

LANGSUNG | Kes tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB memasuki hari ke-33 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Najib Razak diwakili sepasukan peguam bela diketuai Muhammad Shafee Abdullah, manakala bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram, mengetuai pasukan pendakwaan.

Kes membabitkan dana sebanyak RM2.28 bilion milik 1MDB itu dibicarakan di depan hakim Lawrence Collin Sequerah.

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat pelaburan ditubuhkan Najib itu, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, akan menyambung keterangannya melalui soalan balas pihak pembelaan.

LANGSUNG

12.40 tengah hari: Hakim Suquerah menerima permohonan pendakwaan agar perbicaraan hari ini ditangguhkan dan disambung semula pada Rabu.

Terdahulu Gopal memberitahu mahkamah, kesihatan saksi mereka - Shahrol Azral Ibrahim Halmi - tidak mengizinkan untuk terus memberi keterangan pada hari ini dan esok.


10.08 pagi: Mahkamah berehat seketika untuk membolehkan Najib hadir di satu lagi mahkamah tinggi bagi mendengar keputusan hakim berhubung tuduhan lain yang dikenakan ke atasnya.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dijadual memberikan keputusan mengenai tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram milik bekas anak syarikaty 1MDB, SRC International Sdn Bhd. 


9.45 pagi: Seorang lelaki yang diperkenalkan sebagai ahli perniagaan hartanah berpengalaman, Ong Gim Huat, dibawa menjadi ahli Lembaga Pengarah 1MDB untuk 'membawa wawasan' Najib Razak.

Kata Shahrol sebelum itu ahli Lembaga Pengarah 1MDB ada membincangkan cadangan membawa seorang tokoh bukan bumiputera menyertai badan berkenaan.

Saksi pembelaan itu berkata, selepas perbincangan tersebut Jho Low mencadangkan beberapa nama termasuk Ong.

Menurut Shahrol, Jho Low mendakwa dia mendapat kebenaran daripada Najib untuk membawa Ong menjadi salah seorang ahli Lembaga Pengarah 1MDB.

Katanya Ong dipilih sebab kedudukannya sebagai ahli perniagaan bebas dan berada di luar sistem sedia ada.

Menurutnya lagi, Jho Low memberitahu Najib mahu seseorang yang membawa pandangan segar dibawa menyertai badan berkenaan.


9.35 pagi: Mahkamah diberitahu kertas cadangan penubuhan Petrosaudi Oil Services Ltd (PSOSL) dibentangkan kepada ahli Lembaga Pengarah 1MDB pada Jan 2011.

Menurut Shahrol, PSOSL ialah anak syarikat kepada Petrosaudi International dan mempunyai pemilik sama iaitu Putera Turki dan Tarek Obaid.

Menurut saksi, kertas berkenaan dibentangkan ekoran arahan pihak pengurusan 1MDB agar lebih banyak maklumat mengenai Petrosaudi International diperolehi.

Kata Shahrol, pembentangan khusus mengenai PSOSL dicadangkan Nik Faisal Ariff Kamil yang ketika itu bertugas sebagai ketua pegawai pelaburan 1MDB.


9.20 pagi: Salah seorang timbalan pendakwa raya, Ahmad Akram Gharib, memberitahu mahkamah, Shahrol Azral kurang sihat hari ini dan sudah mengambil ubat.

Katanya walaupun saksi pendakwaan itu bersedia untuk menyambung keterangan, tidak dapat dipastikan bagaimana ubat-ubatan berkenaan akan memberi kesan kepadanya kemudian.

Lihat Komen
ADS