Salim Sharif (BN - Jempol) secara berseloroh mengingatkan anggota parlimen agar berbahas dengan “perlahan-lahan” di Dewan Rakyat.

“Nanti sesak nafas nanti, perlahan-lahan sikit. Ramai yang tumbang dah,” katanya sambil ketawa.

Salim berkata demikian sejurus selepas Noor Azmi Ghazali (PH - Bagan Serai) menyampaikan perbahasan dengan penuh semangat.

Peringatan itu hadir selepas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazless Shith (PH - Kuala Pilah) rebah terduduk di kerusinya ketika baru masuk ke Dewan Rakyat, kira-kira 30 minit selepas sidang berlangsung.

Kejadian itu menyebabkan Dewan Rakyat ditangguh kira-kira 15 minit, dengan Eddin dibawa keluar dari dewan untuk dihantar mendapatkan rawatan lanjut di pusat perubatan.

Pada 21 Oktober lalu, Mansor Othman (PH-Nibong Tebal) juga rebah semasa membahaskan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat.

Julai tahun lalu pula, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin pengsan dalam majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

Terdahulu, sebelum itu, Noor Azmi dalam perbahasannya mempersoalkan apakah ada pelan yang jelas dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB) bagi menangani masalah dihadapi masyarakat luar bandar terhadap kos sara hidup yang semakin tinggi, termasuk penduduk di kawasan parlimennya.

“Saya ingin bertanya kepada kerajaan, apakah langkah-langkah baru yang akan dilaksanakan, bagaimana ia akan dilaksanakan, dipantau dan dilaporkan?

“Kita kena ada strategi macam ni, kalau tak nanti jadi macam Wawasan 2020, sampai hari ni, bila tak jadi, tak dapat dicapai, kita pun tak boleh nak jawab,” katanya.

Dia juga dengan bersemangat meminta lapangan terbang dibina di kawasannya.

“Saya dah banyak kali kata, kita perlu lapangan terbang di semenanjung Malaysia, dan Bagan Serai adalah tempat terbaik...

“Kerajaan jangan buat tak dengar. Jangan buat pekak! Ni saya cakap banyak kali dah. Sebab kita dah ada program dan pelan dari 2010 (untuk pembinaan lapangan terbang), lain-lain negeri tak ada lagi,” katanya lagi.

Beliau yang berbahas dalam nada tinggi sejak awal, meminta kerajaan mengambil perhatian terhadap perkara tersebut dan meminta WKB disediakan dengan perancangan yang bersifat mikro, jelas dan terperinci.

“Tak boleh perancangan akan akan akan akan sampai kiamat! Tak boleh. Dan perancangan tak boleh dikaji, dikaji, dikaji, dikaji. Letih saya dengar ni!” katanya sebelum diusik salah seorang perwakilan yang berkata beliau seumpama seorang “bakal menteri”.

“Saya harap kerajaan akan dengar permintaan dan permohonan dan deritan … jeritan … orang-orang Bagan Serai ini!” katanya yang sempat tertawa akibat tersasul sebelum menamatkan perbahasan.