Malaysiakini BERITA

Hishamuddin percaya Dr M tak campur tangan kes Najib

Geraldine Tong

Diterbitkan

Bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein percaya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak campur tangan dalam kes mahkamah terhadap sepupunya, Najib Razak yang juga bekas perdana menteri.

Beliau juga menegaskan pihak pengkritik telah menuduh pemimpin BN ketika berkuasa turut melakukan perkara sama sebelum ini.

"Saya tidak fikir begitu.

"Kami (BN) juga dituduh macam itu masa kami menjadi kerajaan... Akhirnya, institusi kehakiman mesti mempertahankan maruah, kredibiliti dan integriti mahkamah itu sendiri.

"Itu banyak bergantung bagaimana perjalanan kes ini pada masa akan datang itu penting.

"(Ia) bukan tentang spekulasi siapa mempengaruhi siapa tetapi proses mahkamah akan menentukan integriti pada masa depan," kata Hishammuddin kepada pemberita di parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai Anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam yang mendakwa Najib akan bebas jika tiada sebarang campur tangan daripada Mahathir.

Lokman membuat dakwaan tersebut selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mengarahkan Najib membela diri atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).

"Saya hadir hari ini hanya untuk memaklumkan bahawa, Mahathir akan menjadi perdana menteri pertama yang kematiannya akan disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan.

"Kezaliman Mahathir tidak akan berhenti hingga nyawanya dicabut malaikat maut.

"Saya daripada awal sudah tahu memang ada campur tangan daripada Mahathir, kalau tidak ada campur tangan sudah pasti kes ini sudah lama digugurkan," katanya yang berhimpun bersama 100 penyokong bekas perdana menteri di luar kompleks mahkamah semalam.

Peguam bela utama Najib, Muhammad Shaffee Abdullah juga menyatakan anak guamnya terkejut dengan arahan mahkamah supaya beliau membela diri.

Dr Mahathir ketika ditanya tadi malam berkata beliau juga terkejut apabila Najib terkejut dengan perintah mahkamah tinggi itu.

"Seluruh dunia tahu Najib bersalah. Tetapi kami perlu mengikuti kedaulatan undang-undang.

"Kami menghantarnya ke mahkamah untuk melihat sekiranya beliau mempunyai kes, dan (kini) beliau perlu menjawab," katanya.

Setiausaha agung PAS: Hati-hati beri komen

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata mereka yang mempunyai kaitan dalam kes itu perlu mengelak daripada mengulas sehingga perkara itu dilupuskan.

"Bagi saya keputusan mahkamah tidak muktamad tidak sepatutnya mana-mana pihak yang dilihat ada kepentingan membuat apa-apa komen.

"Sebagai contoh yang dituduh di mahkamah adalah pemimpin pembangkang iaitu bekas perdana menteri. Apabila mahkamah membuat keputusan memanggil dia bela diri, sepatutnya orang yang ada kepentingan macam pihak kerajaan lebih berhati-hati apabila memberikan sebarang komen.

"Terkejut atau tidak kerana itu dilihat sebagai gangguan daripada satu pihak kepada pihak yang lain.

"Contohnya daripada legislatif atau eksekutif kepada kehakiman," katanya.

Sementara itu, presiden PKR, Anwar Ibrahim, yang pernah Dr Mahathir dan Najib mempengaruhi mahkamah berhubung dakwaan liwat terhadapnya sebelum ini, berkata tuduhan Lokman itu tidak berasas.

"Dia (Lokman) boleh membuat dakwaan sedemikian tetapi proses undang-undang adalah bebas dan telus.

"Saya tidak fikir kita harus melayan dakwaan seperti itu melainkan jika mereka boleh memberikan beberapa fakta atau keterangan untuk menyokong (dakwaan itu), jika tidak, kita harus membenarkan proses yang perlu diteruskan," katanya.

Sementara itu, Anggota Parlimen DAP Lim Lip Eng pula berkata Lokman perlu menghormati badan kehakiman dan bukannya membuat komen yang berniat jahat

Beliau berpendapat bahawa badan kehakiman kini bebas di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Lim menegaskan bahawa kenyataan Lokman itu dibuat berikutan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang mengeluarkan kenyataan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Johor Bahru yang membebaskan seorang wanita dengan pertuduhan memandu yang menyebabkan kemalangan basikal lajak melibatkan lapan remaja.

"Apakah agenda tersembunyi Umno dengan cuba menimbulkan keraguan terhadap mahkamah?" soalnya.

"Adakah rancangan Umno untuk menghancurkan keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman dan mencetuskan huru-hara kepada negara, dengan matlamat utama untuk melumpuhkan kerajaan Pakatan Harapan?

"Tindakan tegas harus diambil terhadap Lokman, Zahid dan mereka yang cuba meruntuhkan badan kehakiman kita,” katanya lagi.

[Baca berita asal]