Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Salam Muafakat Nasional' - MCA, MIC rapat dengan PAS atas pentas Pemuda

PRK TG PIAI | MCA dan MIC kelihatan memberi isyarat bahawa kedua-dua parti itu merupakan sebahagian daripada pakatan Muafakat Nasional dengan PAS.

Semasa ceramah BN-PAS pada Rabu lepas, Presiden MCA Wee Ka Siong dalam ucapan beliau merujuk Muafakat Nasional sebagai satu bentuk perpaduan pembangkang.

Bagaimanapun pendirian kedua-dua parti-parti bukan Melayu itu lebih ketara pada majlis Muafakat Pemuda Nasional malam tadi di Pekan Nanas, Tanjung Piai, yang menampilkan Ketua Pemuda MCA, MIC, Umno dan PAS.

"Salam sejahtera dan salam Muafakat Nasional," kata Ketua Pemuda MCA Nicole Wong pada awal ucapannya.

Nicole berkata konsep Muafakat Nasional adalah untuk pembangkang bekerja bersama-sama menuju ke arah yang lebih baik.

Ketua Pemuda MIC,  R Thinalan pula berkata Muafakat Nasional menunjukkan bahawa orang Melayu, India dan Cina boleh berkongsi pentas dan bercakap tentang isu-isu yang memberi kesan kepada pengundi dan bukannya memainkan isu-isu perkauman seperti Pakatan Harapan.

MCA dan MIC sebelum ini tidak menjelaskan sama ada kedua-dua parti itu sebahagian daripada kerjasama Umno dan PAS.

Dalam satu kenyataan sehari sebelum Muafakat Nasional ditubuhkan pada 14 Sept, Wee berkata MCA akan menyaksikan kerjasama antara "Umno dan PAS" untuk "memastikan ia mematuhi nilai-nilai kepelbagaian budaya dan kesederhanaan".

Begitu juga, Presiden MIC, SA Vigneswaran berkata, beliau hanya akan menjadi saksi kepada piagam Muafakat Nasional tetapi tidak mempunyai peranan di dalam perjanjian berkenaan.

Calon MCA di Tanjung Piai, Wee Jeck Seng turut menjauhkan diri untuk mengulas mengenai kerjasama Umno-PAS.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata piagam Muafakat Nasional jelas menyatakan ia merupakan kerjasama antara BN dan Gagasan Sejahtera, bermakna ia turut melibatkan parti komponen kedua-dua pihak termasuk MCA, MIC, Berjasa dan juga Ikatan.

Kira-kira 500 orang, kebanyakannya memakai baju BN bersama penyokong PAS hadir pada acara Muafakat Pemuda Nasional malam tadi.

Dalam ucapannya, Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin menggesa umat Islam mendoakan kemenangan MCA pada pilihan raya kecil Tanjung Piai.

"Saya minta tolong sikit je, lepas balik dari penat berkempen ni ambil wuduk kejap, duduk atas tikar sembahayang duduk je, jangan tidur.

"Kalau kuat solat hajat dua rakaat, doa supaya Allah taala beri kemenangan kepada orang yang berjuang untuk keadilan rakyat," katanya.

Beliau juga menyatakan sokongan penuh Pemuda PAS terhadap Jeck Seng.

Minggu lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga berkempen untuk calon BN.

Penerimaan MCA terhadap Muafakat Nasional adalah perubahan yang sangat ketara sejak awal tahun ini apabila ia mengancam untuk keluar daripada BN.

Pada Mac lalu parti itu memutuskan untuk kekal dengan gabungan itu bagi memastikan masyarakat pelbagai kaum dan supaya pakatan Umno-PAS tidak menjadi rangka utama pembangkang.

Lihat Komen
ADS