Sebuah syarikat perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dikenakan hukuman denda RM18,000 oleh Mahkamah Sesyen di Seremban hari ini selepas didapati bersalah melonggok bahan sisa pepejal terkawal tanpa kebenaran.

Hakim Muhammad Zaki Abdul Kudos membuat keputusan berkenaan selepas Syarikat Sheng Chen Enterprise sebagai Orang Kena Saman (OKS), yang diwakili oleh pengurus operasi, Chia Poh Fatt mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.

Hakim Muhammad Zaki turut memerintahkan hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut selain lapan unit tong roro dilucut hak dan perlu membayar kos penyimpanan kesemua tong roro berjumlah RM11,680 kepada Majlis Perbandaran Nilai. Syarikat berkenaan membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa telah melonggokkan bahan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal binaan tanpa kebenaran di lot tanah Lot 7087 dan Lot 7088, Setul, Seremban, pada pukul 4.30 petang, 4 Feb lepas.

Berikutan itu, syarikat berkenaan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam yang boleh dihukum di bawah Seksyen 71 (8) akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Siti Adora Rahtimin dan Mohd Iqram Ismail manakala syarikat berkenaan tidak diwakili peguam.

Dalam kes berasingan, seorang pemilik kedai perabot Rahman Gafar, 57, selaku OKS, mengaku bersalah atas pertuduhan melonggokkan bahan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal binaan di tanah simpanan jalan milik kerajaan di Jalan Indah 3/10, Taman Indah, Tampin pada 26 Ogos lepas, kira-kira pukul 10.30 pagi.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam yang boleh dihukum di bawah Seksyen 71 (8) akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagaimana pun, Hakim Muhammad Zaki memutuskan hukuman terhadap Rahman ditangguhkan pada 18 Dis ini selepas membenarkan rayuannya yang memohon untuk penangguhan pelaksanaan hukuman memandangkan dia tidak mempunyai kemampuan membayar denda kerana hanya memperoleh pendapat sekitar RM50 ke RM60 sehari.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SWCorp Mohd Saipul Rizal Zainol manakala lelaki berkenaan tidak diwakili.

- Bernama