Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis reman seminggu suspek tikam leher ibu hingga maut
Diterbitkan:  Nov 13, 2019 6:24 PM
Dikemaskini: 10:24 AM

Suspek lelaki yang menikam leher ibunya sehingga maut semalam, kini direman seminggu sehingga 19 Nov ini, kata Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali.

Beliau berkata perintah reman dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman pada prosiding yang dijalankan di Wad Psikiatrik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, hari ini.

Katanya, turut hadir pada prosiding itu ialah Timbalan Pendakwa Raya Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat dan doktor psikiatrik HTAA Dr Hanisah Mohd Nor.

"Permohonan reman dilakukan di hospital kerana suspek ditahan di situ, selepas ditangkap ekoran keadaannya dibimbangi boleh mendatangkan bahaya jika ditahan di lokap biasa.

"Majistret juga memerintahkan supaya sepanjang tempoh reman, suspek ditahan di Hospital Tampoi, Johor," katanya kepada pemberita di Kuantan, hari ini.

Pada kejadian semalam, suspek dipercayai menikam ibunya, yang berusia 62 tahun, di ruang tamu rumah mereka di Taman Kampung Padang di Kuantan, kemudian meletakkan mayat ibunya di atas kerusi roda dan menolak kerusi roda itu keluar dari rumah.

Suspek yang difahamkan mempunyai rekod rawatan mental juga dipercayai menikam adik perempuan dan rakan lelakinya, yang secara kebetulan melalui kawasan tempat dia meletak mayat ibunya, dengan menunggang motosikal.

Sementara itu, mangsa lelaki yang berusia 38 tahun yang cedera ditikam pada bahagian lengan kanan oleh suspek berkata, dia membawa adik perempuan suspek berusia 26 tahun, yang baru tamat kerja syif malam di sebuah pasar raya 24 jam untuk menghantar makanan kepada mangsa dan suspek.

Katanya, dia mengetahui suspek bergantung kepada ubat kerana sakit mental dan tinggal di situ bersama mangsa yang tidak boleh bergerak akibat patah tulang belakang dan adik bongsu lelaki suspek yang semasa kejadian tiada di rumah kerana mengikuti kelas lesen memandu.

"Semasa hendak sampai, saya nampak suspek menolak kerusi roda mak cik (mangsa) dengan baju dipenuhi darah. Belum sempat kami bertanya, dia terus menyerang kami sehingga motosikal jatuh dan menghempap kami.

"Saya tidak dapat menyelamatkan adik perempuan suspek yang ditikam beberapa kali pada bahagian belakang badan sebelum kami diselamatkan orang ramai di situ," katanya dan menambah mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil namun masih trauma.

Beliau berkata keluarga suspek sebelum ini menetap di Nenasi, Pekan dekat sini dan Bukit Sekilau, di Kuantan sebelum berpindah ke Taman Kampung Padang setahun lalu, yang suspek difahamkan tidak pernah keluar rumah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS