Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Imigresen tahan dua lelaki Vietnam masuk Malaysia tawar seks songsang
Diterbitkan:  Nov 13, 2019 6:31 PM
Dikemaskini: 10:31 AM

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang menahan dua lelaki warga Vietnam yang didapati menyalahguna pas lawatan sosial mereka dengan menjalankan kegiatan mengurut untuk kaum sejenis dengan bayaran RM150 sejam.

Perbuatan mereka itu terbongkar apabila sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasa JIM Pulau Pinang menyerbu sebuah hotel di Jalan Transfer, di George Town kira-kira pukul 11 malam tadi.

Pengarah JIM negeri, Muhamad Husni Mahmud berkata pihaknya menyerbu sebuah bilik di hotel itu hasil risikan dan maklumat mengenai kegiatan songsang di situ, dan mendapati ada dua lelaki Vietnam sedang mengurut seorang lelaki tempatan dalam keadaan bogel.

"Hasil pemeriksaan, dua lelaki berusia 29 dan 31 tahun itu mengaku mereka menawarkan perkhidmatan urut dan seks songsang dengan mengenakan bayaran RM150 kepada pelanggan untuk perkhidmatan mereka. Mereka kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya.

Katanya mereka masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial sah yang akan tamat tempohnya akhir bulan ini, dan mereka didapati telah menetap di hotel berkenaan selama lima hari.

Muhamad Husni berkata siasatan awal mendapati dua lelaki itu mencari pelanggan dengan menggunakan media sosial dan pihaknya turut merampas wang tunai RM1,200 dipercayai hasil kegiatan mengurut serta khidmat seks.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS