Kerajaan Selangor sedang berusaha menyusun beberapa langkah terbaik bagi menyelesaikan hutang lapuk Universiti Selangor (Unisel) yang dianggarkan mencecah RM30 juta, setakat ini, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata masalah hutang itu telah menyebabkan pendapatan Unisel menurun sejak tahun 2006.

"Kerajaan negeri sedang menyusun beberapa aspek dan semalam kita telah mengadakan mesyuarat ahli lembaga pengarah untuk mengatasi masalah itu.

“Trend penurunan (pendapatan) berlaku sejak 2006 dan keseluruhan beban (hutang) hampir RM30 juta," katanya ketika menjawab soalan tambahan Ronnie Liu (DAP-Sungai Pelek).

Mengulas lanjut, Amirudin berkata kerajaan negeri turut memberikan subsidi hampir RM45 juta kepada Unisel bagi memastikan Fakulti Kejuruteraan di institusi itu dapat terus beroperasi.

"Sehingga akhir 2018, Unisel mempunyai 11,328 pelajar di mana dua fakulti mencatatkan jumlah pelajar tertinggi iaitu Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial serta Fakulti Perniagaan dan Perakaunan di Kampus Shah Alam dengan jumlah sekitar 7,000 pelajar," katanya.

Persidangan DUN ditangguhkan ke tarikh yang akan diberitahu kelak.

- Bernama