Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hantaran Facebook Jeck Seng isu Jawi disunting
Diterbitkan:  Nov 15, 2019 8:50 AM
Dikemaskini: 3:35 AM

Pemimpin BN mengecam Malaysiakini selepas versi Bahasa Melayu portal itu menyiarkan kenyataan calon BN PRK Tanjung Piai Wee Jeck Seng yang menyatakan “adakah kita nak khat Jawi” ketika berkempen agar pengundi menolak PH.

Pada pukul 6.30 petang, semalam, Presiden MCA Wee Ka Siong mengatakan kenyataan Jeck Seng diambil di luar konteks.

Ka Siong berkata pendirian MCA adalah sentiasa mahu menjaga keharmonian dan tidak pernah membantah tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Malah, pada sebelah malam, Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Najib Razak mengingatkan pengundi di Tanjung Piai supaya tidak terhasut dengan laporan Malaysiakini berhubung isu calon BN tentang penulisan jawi.

Bagaimanapun, semakan mendapati catatan asal Facebook Wee Jeck Seng berhubung isu itu telah disunting dan ditambah beberapa perkataan.

Pada jam 7.48 malam, 13 November, Jeck Seng membidas tuduhan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Dalam catatan tersebut, ayat asalnya adalah “MCA bersatu membantah tulisan Jawi dan mempertahankan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman. Adakah ini memainkan isu perkauman?” ("马华群起反对爪夷文,捍卫拉大,这是炒作种族议题?”)

Tetapi pada 4.41 petang semalam, catatan ini telah disunting kepada “MCA bersatu membantah tambahan isi kandungan khat Jawi dalam kurikulum Bahasa Melayu di SJK (C) dan SJK (T) dan mempertahankan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman. Adakah ini memainkan isu perkauman?” (马华群起反对在华淡小的马来文课程增加爪夷文书法内容,捍卫拉大,这是炒作种族议题?)

Berbanding dengan catatan asal yang mengandungi 21 karakter Cina, catatan disunting ditambah sehingga 37 karakter Cina.

Hantaran asal itu masih boleh dilihat melalui kemudahan semakan sejarah suntingan di Facebook.

Suntingan ini dilakukan sebelum sidang media Ka Siong yang "merayu" agar berita itu dilaporkan mengikut konteks yang disebut Jeck Seng dalam hantarannya di Facebook.

"Saya merayu dan memohon jasa baik Malaysiakini supaya kita melaporkan dalam konteks di mana apa yang saya cakap itu mewakili parti dan pendirian kita (berhubung pembelajaran Jawi) konsisten sejak hari pertama," katanya.

Untuk rekod, isu pembelajaran Jawi di sekolah vernakular menjadi kontrovesi dalam kalangan masyarakat Cina dan India pada Julai lalu.

Kemudian pada 8 Ogos, Menteri Pendidikan Maszlee Malik mengumumkan keputusan kabinet untuk menetapkan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil dilaksanakan secara pilihan.

Beliau berkata guru juga diberi kuasa menetapkan sendiri kaedah pelaksanaannya.

Lihat Komen
ADS