Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wang hampir RM2 juta Yayasan Tun Hussein Onn kini hak k’jaan
Diterbitkan:  Nov 15, 2019 4:02 PM
Dikemaskini: 8:08 AM

Wang berjumlah RM1,980,328.37 yang dibekukan daripada akaun Yayasan Tun Hussein Onn, yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kini menjadi harta kerajaan Malaysia.

Peguam Hariharan Tara Singh yang mewakili yayasan itu memberitahu Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Ahmad Shahrir Mohd Salleh bahawa anak guamnya yang merupakan responden dalam permohonan itu bersetuju wang RM1,980,328.37 dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata pihaknya akan menarik balik permohonan lucut hak itu selepas SPRM memperoleh wang berkenaan daripada yayasan itu.

"Permohonan lucut hak itu difailkan pendakwaan terhadap yayasan tersebut mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001," katanya pada sebutan kes itu hari ini.

Ahmad Shahrir membenarkan wang RM1,980,328.37 daripada akaun yayasan itu dilucutkan hak kepada Kerajaan Malaysia.

Dalam kes lain, Ahmad Shahrir juga membenarkan wang berjumlah RM121, 205 yang dibekukan daripada akaun Rayhar Travels Sdn Bhd dilucutkan hak kepada Kerajaan Malaysia.

Peguam Mat Yunus Sharif mewakili agensi itu memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya bersetuju wang tersebut dilucut hak kepada kerajaan Malaysia manakala Allan berkata pihaknya menarik balik permohonan lucut hak itu selepas SPRM memperoleh wang berkenaan.

Di Mahkamah Tinggi lain, Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan 26 Dis untuk pendengaran kes pelucutan hak wang berjumlah RM11.9 juta milik ahli perniagaan, Bustari Yusuf yang disita SPRM didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Perkara itu dimaklumkan Allan selepas sebutan kes itu di dalam kamar Hakim Sequerah yang turut dihadiri peguam Kamarul Hisham Kamaruddin bertindak bagi pihak Bustari.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya baru-baru ini berkata permohonan pelucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan yang suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas perdana menteri Najib Razak.

- Bernama

Lihat Komen
ADS