Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Baru Bian boleh datang mesyuarat parti dan tanya, kata Saifuddin

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail menggesa Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian agar menghadiri mesyuarat biro politik parti itu agar sebarang rasa tidak puas hati boleh dibincang dan diselesaikan melalui saluran betul.

Ia selepas Baru menyuarakan kata dua kepada kepimpinan PKR berhubung isu pembatalan jemputan timbalan presiden Azmin Ali untuk merasmikan Kongres Tahunan Pemuda PKR (AMK) 2019.

"Sebab itu kita anjurkan datang ke mesyuarat. Bila datang mesyuarat, semua kita boleh bentangkan di atas meja. Baru Bian adalah anggota biro politik. Jadi dia tunggu sajalah jadual mesyuarat biro politik dan dia boleh tanya, minta penjelasan.

"Jadi isu apa yang dia ingin bangkitkan? Isu (pembatalan) jemputan kepada Azmin? Kita akan bagi penerangan bahawa Kongres AMK ialah urusan AMK.

"AMK yang jemput, mereka yang tentukan usul, pembahas dan tema. Ini semua urusan AMK," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau mengulas kenyataan Baru bahawa PKR Sarawak akan membatalkan konvensyen peringkat negeri yang dijadual berlangsung di Miri pada 23 November ini jika isu jemputan terhadap Azmin itu tidak diselesaikan.

Anggota MP Selangau itu, yang memang diketahui antara pemimpin PKR yang menyokong Azmin, berkata pembatalan itu adalah pengkhianatan terhadap tradisi parti dan bertentangan dengan prinsip demokrasi.'

'Ini politik gaya lama'

Saifuddin bagaimanapun menyifatkan Baru Bian sebagai mengamalkan politik lama.

"Kita tak buat keputusan melaluu kenyataan media dan beri ultimatum (kata dua) kepada pimpinan parti.

"Itu politik gaya lama, bukan politik untuk menguatkan parti.

"Jadi saya syor Baru Bian sebagai pengerusi (PKR) Sarawak untuk datang ke mesyuarat biro politik yang seterusnya, dan beliau bebas untuk menyuarakan apa-apa persoalan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS