PRK TG PIAI | Badan pemikir MCA, Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (Insap) meramalkan kemenangan besar parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Timbalan Pengerusi Insap, Pamela Yong dalam kenyataan berkata badan itu meramalkan BN akan meraih 62.8 peratus daripada jumlah undi dan memenangi pilihan raya kecil itu dengan majoriti 7181 undi.

Yong berkata angka itu diperolehi berdasarkan anggaran 70 peratus keluar mengundi.

"Kadar sokongan kaum Cina terhadap BN meningkat daripada 32 peratus pada pilihan raya umum ke-14 kepada sekurang-kurangnya 45 peratus.

"Dalam kaji selidik sampel sebanyak 400 responden yang dijalankan Insap beberapa minggu sebelum penamaan calon, kadar sokongan Cina lebih tinggi untuk BN.

"Bagi Melayu pula, kadar sokongan orang Melayu mengikut kajian Insap adalah sekurang-kurangnya 70 peratus yang sekali lagi mengesahkan kajian terdahulu yang meletakkan sokongan Melayu pada 67 peratus.

"Berdasarkan penemuan semasa Insap dan kaji selidiknya sebelum ini, oleh itu diramalkan calon BN Wee Jeck Seng akan memenangi pilihan raya ini dengan majoriti yang meyakinkan dan mendapatkan semula kerusi yang hilang pada PRU14 dengan 524 undi," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Badan pemikir itu meramalkan Wee akan meraih 17,605 undi sekali gus menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini yang dijangka memperolehi 10,424 undi.

Ia juga meramalkan kesemua calon lain akan kehilangan wang deposit mereka.

Calon yang bertanding perlu memperoleh sekurang-kurangnya satu perlapan daripada jumlah undi untuk memastikan tidak kehilangan wang deposit.