Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kelantan mohon peruntukan bina kolam renang ikut syarak

Kelantan akan memohon peruntukan daripada kerajaan Persekutuan untuk membina kolam renang di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Wan Roslan Hamat.

Beliau berkata permohonan itu akan diangkat menerusi Jabatan Belia dan Sukan Kelantan dalam masa terdekat kepada Kementerian Belia dan Sukan.

"Kita memerlukan sekurang-kurangnya dua kolam renang untuk kegunaan lelaki dan wanita. Kita memohon kolam renang ini untuk tunjuk cara yang betul bagi menguruskan sukan ini mengikut syarak.

"Renang ini satu sukan yang dianjurkan oleh Islam cuma sekarang ia jadi rosak kerana orang tak tutup aurat dengan sempurna," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Bulan Sukan Negara peringkat Kelantan di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata selain untuk kegunaan awam, kolam renang itu juga merupakan antara persiapan Kelantan untuk menganjurkan Sukan Malaysia (Sukma) pada 2024.

"Kelantan kekurangan fasiliti sukan sedangkan pembangunan sukan sangat berkembang di negeri ini. Kelantan selalunya hanya mengasah bakat atlet dalam mana-mana bidang sebelum mereka ini bermain di peringkat kebangsaan," katanya.

Mengulas mengenai Bulan Sukan Negara, Wan Roslan berkata kerajaan negeri menyasarkan sejumlah 249,000 orang akan menyertai pelbagai jenis sukan yang dianjurkan di peringkat negeri, jajahan mahupun persatuan sukan serta NGO sepanjang sambutan ini.

Beliau berkata lebih 6,000 individu turut menyertai pelancaran Bulan Sukan Negara pada hari ini selepas pelancarannya ditangguhkan pada Oktober lepas bagi menghormati tempoh perkabungan kemangkatan Sultan Ismail Petra selama 40 hari.

Katanya sebanyak 12 aktiviti sukan diadakan pada hari ini termasuk Fun walk, Fun Run, Fun Ride, Fitness Together @ BSN, demonstrasi silat dan taekwando, pertandingan Beyblade, pertandingan bola jaring 3 on 3, e-Sport, sukan wanita, sukaneka kanak-kanak dan sepakan penalti orang istimewa.

"Bulan Sukan Negara ini untuk membudayakan sukan kerana akal yang bijak lahir daripada tubuh badan yang sihat. Nabi (Muhammad SAW) juga bersukan seperti memanah dan berlari dan diadakan bersama anak, isteri dan sahabat baginda.

"Kita boleh bersukan tapi kena ikut garis panduan yang ditetapkan syarak seperti menutup aurat dengan sempurna dan menjaga batas pergaulan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS