Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Penipuan jahat' - Pengerusi SPR nafi gambar pakai lencana PKR
Diterbitkan:  Nov 16, 2019 1:06 PM
Dikemaskini: 5:06 AM

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun menafikan dakwaan beliau memakai lencana PKR berdasarkan sekeping gambar semasa makan malam dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

"Penipuan jahat" katanya kepada Malaysiakini ketika diminta mengulas gambar yang dikongsikan oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno, Armand Azha di Facebooknya pagi tadi.

Armand memuat naik gambar itu dengan menyatakan “Pengerusi SPR pakai badge Pakatan di zaman Malaysia Baru".

Bagaimanapun, Azhar menafikan perkara itu dan mengatakan beliau tidak akan menyokong atau menunjukkan sokongan kepada mana-mana parti politik selagi memegang jawatan pengerusi SPR.

Ditanya sama ada gambar tersebut dirakam sebelum pilihan raya umum (PRU) lalu, Azhar membalas: "Saya rasa pun macam tu. Yang pasti, bukan semasa saya jadi pengerusi SPR. Tidak sama sekali saya akan buat begitu."

Menceritakan lebih lanjut mengenai gambar berkenaan, Azhar berkata pada PRU 2013, beliau menemani bekas menteri Umno, Allahyarham Jamaluddin Jarjis pada hari penamaan calon.

"Adakah itu juga satu isu? Saya pernah jadi panel pemikir kepada seorang pemimpin kanan Umno, yang kemudiannya jadi menteri- yang itu pun isu?" tambahnya.

Azhar yang sebelum ini merupakan seorang peguam dilantik sebagai pengerusi SPR pada September tahun lepas.

Susulan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14, satu tribunal ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan salahlaku oleh pesuruhjaya-pesuruhjaya SPR yang lalu.

Tribunal tersebut diwujudkan sebagai lanjutan laporan daripada badan pemantau pilihan raya, Bersih kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Keseluruhannya, 13 tuduhan disabitkan terhadap enam bekas pesuruhjaya berkaitan peranan mereka menyediakan laporan kontroversi persempadanan semula dan cara pengedalian pilihanraya umum yang lalu.

Bagaimanapun, tribunal itu dihentikan secara mendadak selepas anggotanya mengisytiharkan prosiding itu sebagai usaha sia-sia, dan kekecewaan terhadap peguam negara Tommy Thomas.

Dalam satu perkembangan lain, SPR juga merekodkan sebanyak 101 kesalahan pilihan raya sepanjang 14 hari kempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai. BN direkodkan melakukan kesalahan pilihan raya paling banyak diikuti PH.

 

 

Lihat Komen
ADS