Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wanita PKR mahu Azmin rasmikan kongres sayap parti

Ketua Wanita PKR Haniza Mohamed Talha menjemput ahli Pemuda PKR (AMK) yang melihat "tradisi mesti diteruskan" untuk hadir kongres Wanita PKR yang akan dirasmikan oleh timbalan presiden parti itu Mohamed Azmin Ali.

Kenyataan Haniza hadir meskipun kepimpinan pemuda PKR memutuskan akan menjemput penasihat parti itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perasmi kongres AMK di Melaka pada 6 Dis.

"Saya harap sayap Pemuda akan bersama kami semasa pembukaan kongres Wanita. Sebab perkara itu yg kita lakukan setiap tahun, tradisi majlis perasmian bersama - AMK dan Wanita.

"Jadi, saya lihat walaupun ada pihak ingin melakukan secara berasingan, saya menjemput AMK yang masih melihat bahawa tradisi mesti diteruskan (untuk hadir kongres)," katanya kepada media selepas merasmikan logo baru Wanita PKR di Subang Jaya.

Pembukaan kongres Wanita PKR akan berlangsung di Melaka pada 5 Dis.

Sebelum ini, Naib Ketua AMK Syed Badli Shah Syed Osman mendakwa bahawa keputusan membatalkan jemputan kepada Azmin dibuat selepas timbalan presiden PKR itu gagal menjawab secara bertulis jemputan Perasmian Kongres AMK.

Bagaimanapun, kata Haniza, surat itu tidak diperlukan untuk mengesahkan kehadiran Azmin.

"Tak perlu kerana ia tradisi. Wanita sudah hantar surat dan timbalan presiden sudah setuju untuk datang. Dah lama kita putuskan.

"Kalau alasannya timbalan presiden tak memberi maklum balas (pada surat), kenapa kepada Wanita dia ada jawab?" katanya.

'Keputusan kepimpinan AMK memalukan'

Haniza juga tidak bersetuju kongres AMK dirasmikan oleh Wan Azizah.

"Saya tengok, sebenarnya, ia kena ikut hirarki. Kalau ikut hirarki, tak ada jawatan penasihat. Kalaupun dia rasa timbalan presiden tak bagi jawapan dan sebagainya, ia tak jadi isu. Sebab kita juga ada naib presiden.

"Bukan amalan parti untuk penasihat rasmi. Cuba tanya parti lain, ada tak begitu?" katanya.

Beliau menambah bahawa kepimpinan sayap Pemuda membuat keputusan memalukan dengan mengadakan pembukaan yang berasingan bagi kongres sayap parti.

"Kami mengikuti tradisi untuk mengadakan kedua-dua kongres yang dirasmikan oleh timbalan presiden selama 20 tahun.

"Bagi saya, (keputusan untuk membuat) acara yang berasingan memalukan dan veteran parti telah menyarankan agar timbalan presiden merasmikan kongres Pemuda," katanya

Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, menerima surat daripada sekretariat AMK pada 22 Okt yang memaklumkan bahawa undangan itu telah dibatalkan.

Ketua AMK Akmal Nasrullah Mohd Nasir dilaporkan berkata keputusan untuk menjemput Wan Azizah sebagai perasmi kongres AMK dibuat pada mesyuarat pimpinan pusat sayap itu pada 20 Okt lepas.

Akmal dilapor berkata hasil mesyuarat itu telah dimaklumkan secara rasmi kepada Biro Politik Pusat yang dipengerusikan sendiri oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Azmin mendakwa bahawa wujud tangan ghaib di belakang keputusan membatalkan jemputan beliau untuk merasmikan Kongres AMK.

Azmin turut mengatakan bahawa dia yakin bahawa Akmal tidak mempunyai keberanian untuk membatalkan jemputan tersebut secara sendiri.

Kesemua 14 ketua AMK negeri mengeluarkan kenyataan bersama menyokong keputusan menukar Azmin dengan Azizah.

Namun, pemimpin-pemimpin AMK Selangor pula, di mana Azmin berpengaruh, tampil membantah perkara itu dan menuding jari kepada Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution.

Saifuddin menafikan penglibatannya dalam penganjuran kongres berkenaan.

Lihat Komen
ADS