Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ketua Wanita PKR T'ganu dakwa dikasari petugas parti
Diterbitkan:  Nov 16, 2019 4:33 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

Konvensyen PKR Terengganu terpalit kontroversi apabila Ketua wanita PKR negeri mendakwa dikasari petugas parti serta dihalang duduk bersama Presiden PKR, Anwar Ibrahim ketika konvensyen itu berlangsung.

Sharifah Norhayati Syed Omar mendakwa sekumpulan lelaki mengasarinya dengan menarik kuat lengan kanannya ketika menghadiri konvensyen yang dianjurkan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) negeri itu.

Mengakui tidak dijemput menghadiri konvensyen berkenaan, Sharifah berkata dia juga tidak dibenarkan duduk sebaris dengan tetamu kenamaan dan barisan kepimpinan, walaupun berhak hadir atas kapasiti Ketua Wanita PKR Terengganu.

“Saya akur dengan tindakan MPN negeri lalu memilih untuk duduk di kerusi bahagian belakang bersama peserta lain mengikuti konvensyen yang bermula sejak jam 2 petang itu,” katanya seperti dilapor BH Online.

Katanya ketegangan bermula apabila Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail "menghalaunya" selepas dia duduk di kerusi Pengerusi MPN Kelantan, Mohamad Suparadi Md Noor, yang bangun untuk berucap pada konvensyen itu.

“Insiden bermula selepas saya ke tempat duduk kosong di sebelah Datuk Seri Anwar untuk mengucapkan selamat datang ketika pengerusi MPN Kelantan sedang berucap.

“Tindakan saya duduk di kerusi kosong di sebelah Anwar tidak disenangi Azan yang kemudian mengarahkan saya mengosongkan kerusi itu.

“Sebaik Azan mengarahkan saya berganjak dari situ, sekumpulan lelaki bertindak keterlaluan dan mengasari saya apabila menarik lengan kanan serta memaksa saya bangun dan mengosongkan kerusi.

“Saya memberi alasan kepada kumpulan lelaki berkenaan akan mengosongkan kerusi selepas Suparadi berucap, tetapi kumpulan lelaki berkenaan bertindak menarik saya dari situ,” katanya.

Sharifah Norhayati berkata, tindakan Azan yang mengarahkan sekumpulan lelaki bertindak kasar padanya adalah tidak profesional.

Sehubungan itu beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, lewat malam tadi.

Sebelum ini difahamkan hubungan antara kedua-dua pemimpin PKR berkenaan tegang berikutan pelantikan Sharifah sebagai Ketua Wanita PKR negeri dibuat oleh Wanita PKR Pusat dan tidak dipersetujui Azan.

Malaysiakini sedang berusaha menghubungi Azan bagi mendapatkan reaksi.


Lihat Komen
ADS