Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
TUDM mula proses nilai beli pesawat UAV, rondaan maritim
Diterbitkan:  Nov 16, 2019 5:58 PM
Dikemaskini: 9:58 AM

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah memulakan proses penilaian bagi pembelian pesawat rondaan maritim dan pesawat tanpa pemandu (UAV), kata Panglima TUDM Affendi Buang.

Beliau berkata penilaian dimulakan beberapa bulan lepas setelah mendapat lampu hijau daripada kerajaan dan ia dilaksanakan kerana terdapat keperluan penggunaan aset berkenaan bagi memantau keselamatan kawasan tanggungjawab maritim negara terutama di Laut China Selatan.

“Kita harap proses penilaian ini dapat kita jalankan sebaik mungkin dan paling penting negara memperoleh keupayaan aset yang kita kehendaki,” katanya kepada pemberita pada persidangan media selepas merasmikan Hari Terbuka TUDM di di Pangkalan Udara Kuantan, di Kuantan, hari ini.

“Kebiasannya dalam proses pembelian aset-aset ini, tiga tahun akan diperlukan kerana selepas menilai dan bersetuju dengan aspek jenis serta jumlah aset, barulah dimulakan proses bagi memiliki aset itu,” tambahnya.

Media pada Dis 2018 melaporkan TUDM amat memerlukan pesawat rondaan maritim berspektrum penuh yang digandingkan dengan UAV sejajar dengan perkembangan geostrategik serantau dan kepentingan ekonomi negara.

Affendi juga berkata fokus untuk memperolehi pesawat rondaan maritim dan UAV tidak bermakna TUDM tiada perancangan untuk menambah jumlah pesawat pejuangnya, tetapi lebih kepada memenuhi keperluan semasa dan faktor kewangan yang terhad.

“Buat masa ini pesawat pejuang kita masih mampu menjalankan tugas yang diamanahkan.

“Pada masa sama kita memerlukan teknologi baru dan platform (pesawat rondaan maritim dan UAV) tersebut untuk kita membuat surveillance dan reconnaissance di kawasan maritim lebih-lebih lagi di kawasan Laut China Selatan,” katanya.

Sementara itu pada Hari Terbuka TUDM selama sehari hari ini, orang ramai diberi peluang untuk mengenali dan melihat dengan lebih dekat aset-aset ketumbukan berkenan.

Antara yang dipamerkan ialah pertunjukan udara dan pameran statik melibatkan pesawat TUDM termasuk EC 725 AP, PC 7 MK II, Hawk, F/A-18D, SU-30 MKM, C130H, CN235 DAN A400M serta persembahan Pasukan Khas Tentera Udara (PASKAU).

- Bernama

Lihat Komen
ADS