Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
S'wak tak akan bankrap di bawah GPS, kata Abang Johari
Diterbitkan:  Nov 16, 2019 8:03 PM
Dikemaskini: 12:05 PM

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg memberi jaminan kerajaan negeri itu tidak akan muflis di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bercakap kepada kira-kira 5,000 perwakilan di persidangan GPS di Kuching hari ini, Abang Johari berkata Sarawak mempunyai kewangan yang mencukupi.

Katanya, bagi tempoh empat tahun pertama dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) yang berakhir Disember tahun depan, kerajaan negeri telah membelanjakan RM37.1 bilion untuk Sarawak.

"Tetapi pada hari ini, kami masih mempunyai rizab sebanyak RM32 bilion di bank. Kami tidak muflis.

"Tahun depan dan dalam tempoh lima tahun akan datang bagi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di bawah GPS, kita tidak akan menjadi bankrap.

"Kami akan membangunkan infrastruktur kami, kami akan membangunkan jalan raya kami, kami membangunkan jambatan kami seperti yang diumumkan sebelum ini," katanya seperti dipetik Borneo Post.

Jun lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Sarawak mungkin muflis dalam tempoh tiga tahun lagi.

Menurut Lim pada masa itu, dengan belanjawan tahunan sebanyak RM11 bilion, rizab RM30 bilion Sarawak akan habis dalam masa tiga tahun.

Bagaimanapun Abang Johari berkata kerajaan negeri ada cara sendiri untuk menjana sumber pendapatan.

Katanya, ada pihak yang terkejut apabila mendengar bahawa kerajaan negeri merangka belanjawan sebanyak RM10 bilion selama dua tahun berturut-turut dan mempersoalkan bagaimana Sarawak dapat membelanjakan jumlah sedemikian setiap tahun.

"Kami mempunyai cara kita sendiri, kita mempunyai sumber kita sendiri, kita mempunyai sistem nilai kita sendiri. Sekiranya anda belajar ekonomi, anda akan tahu apa cukai.

"Percukaian adalah instrumen untuk mendapatkan pendapatan dan ia tidak tetap, ia adalah fleksibel.

"Dan kami mempunyai hak untuk mengenakan cukai dalam perlembagaan. Kerana kita mempunyai sumber, kita mengenakan cukai ke atas produk eksport yang dihasilkan di Sarawak, termasuk minyak dan gas," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS