Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah S'pura dengar permohonan warga M'sia cabar penolakan pengampunan

Permohonan warga Malaysia P Pannir Selvam untuk kebenaran mencabar penolakan pengampunan terhadapnya akan didengar Mahkamah Tinggi Singapura pada 11 dan 12 Februari tahun depan.

Dia yang kini di Penjara Changi sedang menunggu hukuman mati atas kesalahan menyeludup dadah.

Peguam Pannir, Too Xing Ji berkata permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman akan didengar di kamar hakim See Kee Oon.

Pejabat Peguam Negara Singapura akan mencabar permohonan tersebut.

"Pannir meminta kebenaran daripada Mahkamah Tinggi Singapura untuk memulakan prosiding undang-undang mencabar kegagalan pendakwa raya untuk memperakui bahawa Pannir telah secara substantif membantu pihak berkuasa dadah Singapura dalam bertindak terhadap kegiatan pengedaran dadah, nasihat kabinet (Singapura) kepada Presiden Singapura (Halimah Yacob) agar tidak meringankan hukuman mati kepada hukuman penjara seumur hidup; dan penolakan penjara untuk membenarkan peguamnya bertemu saksi yang juga banduan yang menunggu hukuman mati," kata Too ketika dihubungi Malaysiakini.

Halimah menolak permohonan pengampunan Pannir, 32 tahun, pada Mei lalu.

Permohonan Pannir untuk mendapatkan Sijil Bantuan Substantif juga ditolak. Sijil itu untuk memberi peluang kepada banduan menukar hukuman mati kepada penjara seumur hidup, sebagai pertukaran kepada maklumat kepada Biro Narkotik Pusat Singapura berkenaan kegiatan dadah.

Peguamnya sebelum ini meminta dokumen untuk membantu kesnya tetapi permohonan itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi Singapura.

Surendran bersama keluarga Pannir

N Surendran, yang mewakili keluarga Pannir di Malaysia, berharap permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman itu akan diberikan.

"Bagi keluarga, semakan kehakiman ini adalah antara hidup dan mati. Mereka mesti memenanginya untuk selamatkan Pannir. Mahkamah ada asas kuat untuk meluluskannya," katanya kepada Malaysiakini.

Susulan penolakan pengampunan, Pannir dijadual menjalani hukuman mati pada 24 Mei, tetapi ia ditangguh sehari sebelumnya apabila Too dan seorang lagi peguam Lee Ji En bertindak mewakilinya.

Mereka berjaya menunjukkan Pannir ada hak untuk mendapat nasihat undang-undang bagi mencabar penolakan pengampunan itu.

Sejak itu, keluarga Pannir memulakan kempen untuk menyelamatkannya dan Pannir sendiri mula menulis surat terbuka kepada orang awam.

Perkhidmatan Penjara Singapura sebelum ini menafikan ketulenan surat itu, bagaimanapun ia disangkal pihak keluarga, yang turut mula menyiarkan gambar surat itu di internet.

Pannir disabit bersalah pada 27 Jun 2017 atas kesalahan menyeludup 51.84 gram diamorphine (heroin) ken negara itu menerusi Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 3 September 2014.

Lihat Komen
ADS