Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib tak puas hati dengan laporan audit 1MDB, kata bekas KSN
Diterbitkan:  Nov 19, 2019 4:59 PM
Dikemaskini: 8:59 AM

Najib Razak tidak berpuas hati dengan kandungan Laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diperlu dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 24 Feb 2016, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

Bekas Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa berkata perkara itu dimaklumkan oleh bekas perdana menteri ketika beliau (Ali) dipanggil ke Pejabat Perdana Menteri pada 22 Feb 2016.

Ali, 64, yang menyandang jawatan itu sehingga Ogos 2018, berkata turut hadir dalam pertemuan itu ialah bekas Ketua Audit Negara Ambrin Buang.

“(Dalam pertemuan itu) Najib menyatakan beliau tidak mahu dua penyata kewangan berlainan bagi 1MDB dikemukakan dalam Laporan Audit 1MDB. Pada masa itu, saya tidak tahu apa masalahnya dengan penyata kewangan tahunan 1MDB yang dikemukakan dalam Laporan Audit 1MDB.

“Saya ingin menjelaskan di sini, sungguhpun saya adalah anggota lembaga penasihat 1MDB, saya tidak pernah dipanggil untuk menghadiri mesyuarat sebagai seorang daripada anggota lembaga penasihat 1MDB. Saya tidak pernah menandatangani sebarang dokumen atas kedudukan saya sebagai anggota lembaga penasihat 1MDB.

“Saya tidak pernah terbabit dalam mana-mana proses audit 1MDB oleh Jabatan Audit Negara (NAD). Dalam pertemuan itu, saya malah tidak pernah membaca Laporan Audit 1MDB yang Najib maksudkan,” kata saksi pendakwaan keempat itu semasa pemeriksaan utama oleh Gopal Sri Ram, yang mengetuai pasukan pendakwaan.

Ali, yang telah bersara, berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya pada hari kedua perbicaraan Najib dan bekas Ketua Pengawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung dakwaan meminda Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Ditanya oleh Sri Ram apakah perilaku Najib semasa pertemuan itu, saksi itu berkata beliau dapati Najib kelihatan agak susah hati.

Ali berkata selepas perbincangan itu, beliau diarahkan oleh Najib untuk mengadakan mesyuarat penyelarasan antara NAD dan Arul Kanda, yang mewakili 1MDB berhubung sebarang rasa tidak puas hati dengan Laporan Audit 1MDB oleh NAD.

“Saya turut diarahkan supaya tidak mencetak Laporan Audit 1MDB sehinggalah saya mendapat kelulusan beliau (Najib). Pada masa itu, saya tidak mempunyai sebarang maklumat tentang status Laporan Audit 1MDB; sama ada ia telah dimuktamadkan atau tidak,” katanya.

Ali, yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 38 tahun berkata, pada 23 Feb 2016, beliau meminta Ambrin dan bekas ketua setiausaha sulit Najib, Shukry Mohd Salleh untuk bertemu beliau di pejabatnya dan beliau kemudian memberitahu mereka bahawa beliau sedang mengatur satu mesyuarat pada 24 Feb 2016, dan mengundang wakil daripada NAD, 1MDB, Perbendaharan dan Jabatan Peguam Negara.

Saksi itu berkata dalam pertemuan dengan Ambrin dan Shukry, bekas ketua setiausaha sulit Najib memberitahu mereka bahawa Laporan Audit 1MDB telah menjadi krisis yang mesti dikendalikan dengan segera.

“Ketika itu, saya tidak memberi sebarang respons, saya juga tidak bertanya lebih lanjut dan hanya membuat catatan apa yang diberitahu kerana pada masa itu, isu 1MDB adalah isu sensasi,” katanya.

Ali seterusnya berkata sebelum bermulanya mesyuarat pada 24 Feb 2016 yang dipengerusikannya, beliau memaklumkan kepada setiap yang hadir bahawa mesyuarat itu diadakan atas arahan Najib, yang mahukan penyelarasan dalam Laporan Audit 1MDB.

Saksi itu berkata beliau hanya menjadi orang tengah untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan Najib, yang memerlukan rundingan dan persetujuan daripada 1MDB serta NAD.

“Dalam mesyuarat itu, tiada minit dicatatkan. Saya kemudian membenarkan ahli mesyuarat untuk membincangkan isu yang berbangkit daripada Laporan Audit 1MDB. Semua isu berkaitan Laporan Audit 1MDB yang dibangkitkan oleh Laporan Audit Negara dibincangkan satu per satu. Ia kemudiannya ditangani oleh Arul Kanda,” katanya.

Najib, 66, didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau didakwa, atas kedudukannya sebagai pegawai awam iaitu perdana menteri, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Feb 2016 dan 26 Feb 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda, 43, pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

- Bernama

Lihat Komen
ADS