Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dituduh tiada pengalaman urus jentera, MB kata sudah jalankan tugas dengan baik

Susulan kekalahan PH pada pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai, ramai pihak bertumpu kepada peralihan undi masyarakat Cina.

Bagaimanapun, dalam Bersatu, sokongan masyarakat Melayu yang merudum turut menjadi buah mulut.

Beberapa sumber dalam Bersatu melihat pimpinan Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal yang diangkat sebagai Pengarah Jentera Pakatan Harapan bagi PRK itu, tidak mencapai tahap yang memuaskan.

“Dalam satu mesyuarat persiapan, Sahruddin memaklumkan bahawa JCS (Johor Civil Service) dan ketua kampung memihak kepada kita (PH).

“Tetapi dalam pertengahan kempen, kita mendapati maklumat PH tidak sampai kepada pengundi,” katanya kepada Malaysiakini.

Sahruddin, yang berpangkalan di Nusajaya yang terletak 40km dari Tanjung Piai, dilihat kurang aktif sepanjang tempoh kempen PRK.

Berbeza dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang juga merupakan pengerusi PH Johor dilihat bertungkus-lumus turun padang meskipun merupakan menteri persekutuan.

Sumber dalam Bersatu lain yang berkongsi pandangan sama pula menyorot bahawa Sahruddin tidak mempunyai pengalaman sebagai ketua cawangan atau ketua bahagian.

“Menteri besar tidak main peranan utama. Setiausaha dan kakitangan beliau yang berpangkat tinggi yang memainkan peranan.

“Dia (Sahruddin) hanya seorang ketua istiadat. Sebab dia tiada pengalaman. Saya tidak rasa beliau boleh mengurus pasukan jentera yang besar. Dia tidak pernah jadi ketua cawangan mahupun ketua bahagian,” katanya.

Dalam laporan BH Online semalam, Sahruddin berkata kekalahan di Tanjung Piai tidak seharusnya dijadikan ‘peluru’ untuk menuding jari dan mencari salah antara satu sama lain.

Sebaliknya, kata Sahruddin, semua pihak wajar menerima keputusan itu dengan berlapang dada dan memperbaiki kelemahan.

Sahruddin juga menegaskan bahawa jentera PH khususnya pada peringkat negeri sudah menjalankan tugas dengan baik untuk memenangkan calon mereka.

“Saya tidak rasa ada (menyalahkan saya) kerana hasil ini adalah kerja bersama dari Pusat hingga ke negeri untuk memenangkan pilihan raya ini, namun hasilnya mendukacitakan.

“Ini bukan masa untuk menuding jari mencari salah siapa, yang penting kita perlu perbaiki dan muhasabah diri kenapa kita tewas,” katanya.

Pada PRK Tanjung Piai Sabtu lalu, Wee Jeck Seng dari MCA menang besar dengan majoriti 15,086 undi.

Wee meraih 25,466 undi untuk mengalahkan calon PH Karmaine Sardini yang mendapat 10,380 undi.

Lihat Komen
ADS