Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahid mohon jadi penandatangan tunggal Yayasan Akalbudi

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu, bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengasas Yayasan Akalbudi memohon untuk menjadi penandatangan tunggal bagi badan tersebut.

Bekas pengurus Affin Bank cawangan Jalan Bunus, Massayu Mohd Ariffin, berkata berdasarkan dokumen bertajuk “Borang Kemas Kini Tandatangan Bagi Yayasan Akalbudi”, ia menunjukkan Ahmad Zahid memohon untuk mengemas kini menjadi penandatangan tunggal dalam satu akaun di bank itu.

Saksi pendakwaan ketiga itu berkata permohonan berkenaan dikemukakan kepada bank terbabit pada 20 Jun 2013.

"Dokumen ini (Borang Kemas Kini Tandatangan Bagi Yayasan Akalbudi) menunjukkan penama Ahmad Zahid Hamidi memohon untuk dikemas kini sebagai penandatangan tunggal bagi Yayasan Akalbudi," katanya semasa membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan hari kedua kes bekas timbalan perdana menteri itu.

Ahmad Zahid menghadapi 47 pertuduhan jenayah melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Massayu, 49, juga mengesahkan beliau menandatangani cek Affin Islamic Bank Berhad berjumlah RM17,953,185.21 daripada Yayasan Akalbudi kepada Messrs Lewis & Co iaitu pemegang amanah Yayasan berkenaan pada 23 Jun 2016.

Massayu berkata cek itu dikeluarkan berdasarkan Borang Permohonan Kiriman Wang yang diserahkan kepadanya pada tarikh sama (23 Jun2016).

Massayu Mohd Ariffin.

"Kemudian saya telah tandatangan pada cek ini. Saya merupakan authorized signature bagi banker's cheque yang dikeluarkan oleh Affin Bank, cawangan Jalan Bunus, Kuala Lumpur," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt.

Sementara itu Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Salma Hanum Ibrahim, 39, memberitahu Yayasan Akalbudi tidak pernah menyerah simpan penyata tahunan dan kewangan Yayasan Akalbudi kepada SSM semenjak ia ditubuhkan pada 1997.

Saksi kedua pendakwaan itu berkata ia berdasarkan semakan sistem SSM iaitu CBS-ROC pada 24 Dis 2018.

Ahmad Zahid, 66, mengaku tidak bersalah terhadap 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

- Bernama

Lihat Komen
ADS