Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sidang Dewan Rakyat bermula lewat, korum tidak cukup

Sidang Dewan Rakyat hari ini bermula lewat susulan jumlah ahli parlimen yang tidak mencukupi.

Mesyuarat sepatutnya dimulakan seperti lazimnya dengan deringan loceng pada tepat jam 10 pagi sebagai isyarat untuk ahli parlimen memasuki dewan dan diikuti bacaan doa.

Namun, sebaik sahaja bacaan doa selesai, Hasan Baharom (PH - Tampin) yang dijemput untuk mengemukakan soalan pertama semasa Waktu Soalan dicelah oleh Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis).

“Peraturan Mesyuarat, saya nampak tak cukup korum," katanya.

Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof kemudiannya mengira jumlah ahli parlimen yang hadir.

“26 eh? Hanya 24 orang. 25? 24? 24. Bunyikan loceng lagi,” katanya sambil mengarahkan bentara supaya membunyikan loceng sekali lagi.

Mengikut Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat Bilangan 13 (1), cukup bilang bagi (korum) Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa sebuah Majlis Mesyuarat hendaklah mengandungi 26 ahli (MP) dengan tidak termasuk pengerusi.

Ahli parlimen ke-26 yang memasuki Dewan adalah ahli parlimen yang baru mengangkat sumpah semalam, iaitu wakil Tanjung Piai, Wee Jeck Seng masuk.

Selepas loceng berbunyi selama hampir tiga minit, beberapa ahli parlimen mula masuk.

“Masuk sorang lagi, masuk masuk. Ahh nasib baik ada Tanjung Piai. Good Tanjung Piai,” kata Mohd Shahr Abdullah (BN-Paya Besar).

“Ahhh... cukup. Lebih dah satu. 27, 28 - baik,” kata speaker.

Mohamad Ariff kemudian meneruskan sidang dengan soalan pertama daripada Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) mengenai usaha-usaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya mempromosikan budaya masyarakat Melayu, Sarawak dan Sabah sebagai fokus utama di peringkat antarabangsa.

Ini bukan kali pertama Dewan Rakyat tidak mempunyai korum yang mencukupi untuk bersidang.

Pada 17 Oktober lalu, sidang Dewan Rakyat terpaksa dihentikan seketika susulan jumlah ahli parlimen yang kurang daripada 26 orang.

"Baik, jadi kita mula sekali lagi," kata Mohamad Ariff.

Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen, dalam satu hantaran di Facebook kemudian, berkata hanya ada seorang menteri dan timbalan menteri yang hadir pada sesi pagi.

"Sidang itu digantung selama dua minit dan timbalan menteri serta ahli parlimen yang sedang minum kopi bergegas masuk.

"Sidang kemudian diteruskan dengan kira-kira 32 ahli parlimen pagi ini dengan seorang menteri dan lima timbalan menteri yang hadir pada jam 10.10 pagi," katanya.

Lihat Komen
ADS