Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pandu uji kereta terbang belum dapat kelulusan CAAM
Diterbitkan:  Nov 20, 2019 7:19 PM
Dikemaskini: 11:19 AM

Sesi pandu uji kereta terbang yang dijadualkan esok oleh Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof masih belum mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Dalam satu kenyataan hari ini, CAAM berkata penerbangan ujian kenderaan yang sama, UAS E-Hang 216, telah dijalankan pada 15 Nov lalu tanpa kelulusan pihaknya dan perkara itu kini dalam sisatan.

"Lokasi penerbangan ujian di Universiti Kuala Lumpur Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (UNIKL MIAT), Subang, kurang 200 meter dari trafik penerbangan komersial dan helikopter dan jelas di dalam Zon Kawalan Terminal Lapangan Terbang Subang di bawah kawalan ketat yang kawalan trafik udara.

"Selain itu, EH216 hanya mengeluarkan Permit Penerbangan Khas (SFP) oleh negara pengeluar reka bentuk (Pentadbiran Penerbangan Awam China) yang terhad untuk menjalankan Penerbangan & Penyelidikan Pembangunan di Grand World Science Park, Guangzhou.

"CAAM juga melakukan siasatan terhadap penerbangan demonstrasi yang tidak dibenarkan melibatkan EH216 pada 15 Nov di kawasan yang sama di Lapangan Terbang Subang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, di Dewan Rakyat Mohd Redzuan memaklumkan sesi pandu uji kereta terbang akan dijalankan esok.

Bagaimanapun pandu uji kenderaan itu diadakan secara tertutup tanpa sebarang liputan media.

Mohd Redzuan menjelaskan undangan hanya diberi kepada wakil rakyat kerajaan dan anggota Parlimen pembangkang untuk menyaksikannya.

Menurutnya, beliau sendiri akan melakukan pandu uji kenderaan yang boleh memuatkan dua orang itu.

Dalam pada itu, CAAM berkata ia menyokong pembangunan agensi aeroangkasa bagaimanapun tetap menegaskan bahawa peraturan mesti dipatuhi.

"CAAM menyokong penuh pembangunan industri aeroangkasa di Malaysia, ujian dan demonstrasi penerbangan mesti dijalankan mengikut Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 (MCAR 2016) demi keselamatan.

"CAAM juga ingin menyatakan bahawa kami terbuka untuk menimbangkan permintaan bagi penerbangan ujian EH216 di lokasi yang sesuai," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS