Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim jawab ‘soalan lain’ apabila ditanya tentang rombakan kabinet

Menteri Kewangan Lim Guan Eng enggan melayan soalan sama ada beliau bimbang dengan kedudukannya berhubung kemungkinan rombakan kabinet yang akan dilakukan.

Ditanya mengenai perkara itu pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini, beliau menjawab: "Soalan lain?"

Sebelum itu, Lim, yang juga setiausaha agung DAP, mendakwa beliau hanya menyedari rancangan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk merombak kabinet selepas membacanya di akhbar pagi ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada DAP telah membincangkan perkara itu.

Lim adalah rakyat Malaysia keturunan Cina kedua yang memegang portfolio kewangan selepas mending bekas presiden MCA Tan Siew Sin, yang berkhidmat dari 1959 hingga 1974.

Bagaimanapun, pengkritik mendakwa Lim adalah menteri kewangan tanpa kuasa susulan terbentuknya kementerian hal ehwal ekonomi, yang diterajui oleh timbalan presiden PKR, Mohammed Azmin Ali.

Salah seorang pengkritik lantangnya, Ppresiden MCA, Wee Ka Siong, menyifatkan pemimpin DAP itu sebagai semata-mata penjaga buku kira-kira sedangkan Azmin yang memegang kuasa sebenar.

Selain Lim, DAP mempunyai enam menteri kabinet lain - Anthony Loke (pengangkutan), M Kulasegaran (sumber manusia), Gobind Singh Deo (komunikasi dan multimedia), Teresa Kok (industri utama) dan Yeo Bee Yin (tenaga, alam sekitar dan perubahan iklim).

Parti itu juga mempunyai tujuh timbalan menteri - Liew Chin Tong (pertahanan), Ong Kian Ming (perdagangan antarabangsa dan industri), Teo Nie Ching (pendidikan), Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (air, tanah dan sumber semula jadi), Chong Chieng Jen (perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna), Hannah Yeoh (pembangunan keluarga dan masyarakat) dan Steven Sim (belia dan sukan).

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa beliau sedang mempertimbangkan untuk membuat perubahan kepada kabinet berikutan kekalahan teruk Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil Sabtu lalu.

Tanpa menyebut sebarang kerangka masa, Mahathir tidak menolak kemungkinan rombakan itu akan dilakukan sebelum sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) yang akan dianjurkan oleh Malaysia pada November tahun depan.

Walau bagaimanapun, Mahathir berkata kerajaan mesti berhati-hati sebelum membuat "perubahan radikal" menjelang acara antarabangsa yang besar dan penting itu.

Susulan kehilangan kerusi Tanjung Piai dengan majoriti lebih 15,000 undi, timbul desakan supaya Dr Mahathir sendiri meletak jawatan dan melepaskan teraju negara kepada Anwar Ibrahim.

Ditanya soalan itu, semalam, pemimpin berusia 94 tahun itu mengalihkan keputusan mengenai kedudukannya kepada pemimpin PH.

"Terserah kepada parti... Mereka (Majlis Presiden PH) boleh pecat saya jika mereka mahu begitu," katanya.

Bulan lalu, Mahathir meremehkan kajian yang mendapati sokongan kepada kerajaan PH telah menjunam sebanyak 35 peratus.

Sambil mendakwa sokongan kepada PH masih utuh, katanya, kajian itu tidak tepat dan di sebalik ramalan pakar berkenaan pada pilihan raya umum lalu bahawa PH tidak akan menang, mereka telah membuktikan sebaliknya.

Antara menteri PH yang sering menjadi bidasan adalah dari parti Bersatu yang diterajui Mahathir. Namun perdana menteri itu pada masa lalu sentiasa mempertahankan barisan kabinetnya.

Menteri-menteri Bersatu adalah presidennya, Muhyiddin Yassin, (menteri dalam negeri), Syed Saddiq Abdul Rahman (belia dan sukan), Rina Harun (menteri pembangunan luar bandar), Mohd Redzuan Yusof (pembangunan usahawan) dan Maszlee Malik (pendidikan).

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS