Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid mahu pengarah Yayasan Akalbudi letak jawatan

Bekas pengarah Yayasan Akalbudi, Prof Dr Zulkifli Senteri, memberitahu mahkamah, dia diarah meletak jawatan oleh Ahmad Zahid Hamidi pada 2012 tanpa dimaklumkan alasan mengenainya.

Menurut Zulkifli, surat peletakan jawatan itu dihantar oleh pemandu Ahmad Zahid untuk ditandatangani di kediaman saksi berkenaan di Bandar Baru Bangi sebelum diserahkan semula kepadanya.

Ahmad Zahid ketika itu adalah timbalan perdana menteri dan pemegang amanah yayasan tersebut.

Kata Zulkifli bukan dia yang menyediakan surat berkenaan sebaliknya sekadar menurunkan tandatangan saja selepas diarahkan Ahmad Zahid.

“Saya tidak dimaklumkan atas alasan apa saya perlu meletakkan jawatan.

"Saya hanya menerima arahan ini kerana pada pendapat saya, saya tidak ada sebarang penglibatan dan pengetahuan langsung tentang perjalanan dan aktiviti Yayasan Akalbudi,” katanya.

Dia berkata demikian semasa membaca pernyataan bertulis di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah, sebagai saksi ketujuh perbicaraan kes Ahmad Zahid.

Tak pernah tandatangan

Zulkifli yang merupakan timbalan naib canselor (akademik) University Binary memberitahu mahkamah, dia bersetuju dilantik sebagai pengarah setelah dipelawa Ahmad Zahid dalam satu pertemuan di rumah presiden Umno itu di Country Height, Kajang pada 1997.

Bagaimanapun, kata Zulkifli, dia tidak diberitahu mengenai peranannya sebagai pengarah, mahupun fungsi dan peranan Yayasan Akalbudi itu sendiri.

Malah katanya dia tidak mengetahui lokasi pejabat yayasan itu kerana tidak pernah dijemput menghadiri mesyuarat.

Jelasnya, sejak dilantik sehingga meletak jawatan pada 2012, tidak ada sebarang aktiviti dan mesyuarat yayasan yang melibatkan dirinya, dan dia tidak pernah menerima elaun atau bayaran.

Tambahnya, sepanjang tempoh itu juga, dia tidak pernah mengadakan mesyuarat tahunan, berbincang dengan Ahmad Zahid tentang aktiviti dan perbelanjaan yayasan, selain tidak pernah dirujuk dengan penyata akaun atau penyata kewangan yayasan.

Juga, katanya, dia tidak pernah dimaklumkan oleh Ahmad Zahid tentang sumber dana yayasan itu , tidak pernah menandatangani sebarang dokumen atau surat “berkaitan pentadbiran dan operasi” yayasan, dan tidak pernah menandatangani sebarang dokumen kewangan seperti cek milik yayasan.

“Sepanjang saya menjadi pengarah, saya tidak tahu sama ada akaun Yayasan Akalbudi pernah diaudit atau tidak.

“Sepanjang tempoh saya menjadi pengarah Yayasan Akalbudi , saya tidak tahu bahawa Yayasan Akalbudi mempunyai dana yang berjumlah jutaan ringgit,” katanya lagi.

Selepas membacakan pernyataan bertulisnya, timbalan pendakwa raya Lee Keng Fatt merujuk Zulkifli kepada satu borang permohonan untuk membuka akaun institusi buat yayasan itu, dan bertanya sama ada Zulkifli mengecam borang itu atau tidak.

Lee: Kalau cam bagitahu, kalau tak cam tak apa. [...] Pernah lihat?

Zulkifli: Saya tak pasti. Tapi tandatangan saya ada.

Lee: Boleh sahkan tandatangan prof?

Zulkifli: Betul, itu tandatangan saya (sambil mengesahkan lokasi tandatangan pada kertas).

Lee: Ingat tak bila tandatangan?

Zulkifli: Tak ingat.

Ada percanggahan keterangan

Dalam pemeriksaan balas, peguam bela Ahmad Zahid, Ahmad Zaidi Zainal, mendakwa wujud percanggahan dalam pernyataan bertulis Zulkifli.

Merujuk perenggan kelima kenyataan saksi itu, dia tidak diberitahu mengenai “fungsi dan peranan Yayasan Akalbudi” dan menurut Zaidi ia bercanggah dengan perenggan keenam.

Dalam perenggan keenam, Zulkifli berkata, sebab utama dia menerima pelawaan untuk menjadi pengarah ialah kerana dimaklumkan oleh Ahmad Zahid tujuan penubuhan yayasan itu adalah “untuk membantu kebajikan penduduk di Bagan Datuk”.

Zaidi: Soalan saya, apabila terbaca perenggan keenam, ia bercanggah dengan ayat terakhir perenggan kelima, sebab Dr Zul kata tak diberitahu fungsi dan peranan yayasan, tapi betul-betul selepas itu, Dr Zul mengaku tahu fungsi dan peranan yayasan.

Zulkifli: Ya.

Zaidi: Sedikit percanggahan?

Zulkifli: Betul.

Zaidi turut merujuk perenggan ke-12 pernyataan bertulis Zulkifli yang menyatakan pernah melihat Memorandum and Articled of Association (MMA) Yayasan Akalbudi, yang menurut Zaidi mengandungi objektif penubuhan yayasan itu sebelum merujuk dokumen berkenaan.

Zaidi: [...] Ada dari A sampai V, ada 22 objektif yayasan (berkenaan) objektif-objektif atau aktiviti-aktiviti yang boleh dijalankan oleh Yayasan Akalbudi. Setuju?

Zulkifli: Setuju.

Selain itu, Zaidi turut membangkitkan lima perenggan yang berbunyi sama - kata demi kata - antara pernyataan bertulis Zulkifli dengan saksi keempat, Mohd Samsuri Tun yang memberi keterangan di mahkamah kelmarin.

Sebelum membangkitkan hal itu, Zaidi mengesahkan dengan Zulkifli bahawa pernyataan bertulis itu memang disediakan berdasarkan temu bual pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengannya.

Peguam itu juga mengesahkan bahawa Zulkifli tidak berjumpa dengan Samsuri sebelum penyediaan pernyataaan itu.

Mohd Samsuri ialah bekas pengarah Yayasan Akalbudi dan merupakan seorang daripada tiga penandatangan cek yayasan itu selain Zulkifli dan Ahmad Zahid.

Mohd Samsuri juga diminta meletak jawatan pada 2012, tarikh yang sama dengan Zulkifli.

Lima perenggan itu ialah perenggan ke-19 pernyataan Zulkifli (sama dengan perenggan ke-23 pernyataan bertulis Samsuri), perenggan ke-28 pernyataan Zulkifli (sama dengan perenggan ke-32 pernyataan bertulis Samsuri), perenggan ke-29 pernyataan Zulkifli (sama dengan perenggan ke-36 pernyataan bertulis Samsuri), perenggan ke-32 pernyataan Zulkifli (sama dengan perenggan ke-40 pernyataan bertulis Samsuri), dan perenggan ke-33 pernyataan Zulkifli (sama dengan perenggan ke-37 pernyataan bertulis Samsuri).

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana yayasan itu.

Lihat Komen
ADS