Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ambrin kelihatan sangat sedih lepas mesyuarat, kata saksi
Diterbitkan:  Nov 21, 2019 3:49 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

KES PINDA AUDIT 1MDB l Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, bahawa bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang kelihatan sangat sedih selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 24 Feb, 2016.

Pengarah Audit (Sektor Tadbir Urus) Jabatan Audit Negara (JAN), Nor Salwani Muhammad, 52, berkata melihatkan keadaan pegawai atasannya, beliau yang ketika itu menunggu di luar bilik mesyuarat memutuskan untuk mengikut Ambrin ke bilik air.

Ketika ditanya ketua pendakwaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram mengapa beliau berbuat demikian, saksi itu berkata beliau bimbang melihat keadaan Ambrin yang sangat ‘fragile’.

Nor Salwani: Beliau (Ambrin) kelihatan sangat rapuh ketika itu, takut dia jatuh, jadi saya ikut beliau ke bilik air.

Sri Ram: Dia ada berkata apa-apa kepada awak ?

Nor Salwani: Dia merungut apa gunanya audit…itu yang saya dengar.

Saksi pendakwaan kelima itu memberi keterangan pada hari keempat perbicaraan kes bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy, berhubung dakwaan meminda laporan akhir audit 1MDB.

Terdahulu, ketika membacakan pernyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Nor Salwani berkata Ambrin kelihatan tidak senang ketika menyampaikan arahan pengguguran tiga dapatan Laporan Pengauditan 1MDB terhadap pasukan audit JAN.

Tiga pengguguran itu membabitkan perjanjian Country Groups Securities Thailand dengan ACME Time Limited; dua versi penyata kewangan 1MDB yang berbeza bagi tahun 2014 dan isu penangguhan penerbitan Islamic Medium Term Notes (IMTN).

Ahmad Akram: Bila arahan pengguguran itu disampaikan oleh Ambrin?

Nor Salwani: Pada 24 Feb 2016 selepas mesyuarat (penyelarasan Laporan Pengauditan 1MDB) bersama (bekas) ketua setiausaha negara Tan Sri Dr Ali Hamsa yang juga hadir.

Ahmad Akram: Awak ada gambarkan dia (Ambrin) tidak senang, apa maksudnya?

Nor Salwani: (Ambrin) kelihatan sedih dan rasa tercabar dengan apa yang berlaku.

Najib, 66, didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau didakwa, atas kedudukannya sebagai pegawai awam iaitu perdana menteri, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Feb 2016 dan 26 Feb 2016.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda, 43, pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Rabu depan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS