ULASAN | Menjelang Konvensyen Amanah Kelantan esok, seramai 53 orang calon disenaraikan untuk dipilihan sebagai barisan kepimpinan Amanah negeri itu.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Amanah negeri, Alawi Mohd Rashid berkata, antara tokoh yang dicalonkan termasuk Naib Presiden Amanah, Senator Husam Musa.
Selain itu menurutnya, turut tercalon adalah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Nik Omar Nik Abdul Aziz.
"Setakat ini kita terima 53 pencalonan dan para perwakilan akan memilih 17 orang calon terbaik untuk mengisi jawatankuasa Amanah Kelantan bagi penggal 2019-2022 akan datang," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
Sebagai rekod, bagi jawatan pengerusi Amanah negeri kini disandang oleh Wan Abd Rahim Wan Abdullah.
Beliau bagaimanapun sebelum ini menyatakan hasrat untuk berundur selepas menggalas tanggungjawab sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan.
Susulan itu, Amanah Kelantan bakal memilih seorang pengerusi baru bagi menggantikan Wan Abd Rahim.
Sebagai parti yang berada dalam saf pentadbiran kerajaan pusat, Amanah Kelantan juga perlu dilihat dominan dalam menerajui usaha memberi penjelasan tentang dasar-dasar dan kemajuan yang dilaksanakan kerajaan pusat.
Disebabkan Amanah adalah parti pembangkang di Kelantan, mereka juga perlu benar-benar progresif dalam agenda pembaharuan nasional dan membentuk mentaliti masyarakat yang lebih matang.
Dalam kalangan 17 calon kepimpinan yang bakal dipilih, seorang pengerusi negeri yang diangkat nanti pastinya diharap dapat mengemudi parti dengan lebih baik.
Selepas hampir dua tahun PH menguasai kerajaan persekutuan, Amanah Kelantan perlu membuktikan betapa mereka mampu meraih kepercayaan rakyat dan mengukuhkan pengaruh akar umbi.
Maka, dalam perlumbaan membuat kebaikan yang sering dilaung-laungkan, pimpinan Amanah negeri harus sedar bahawa kuasa politik adalah tentang seberat tanggungjawab.
Jika tersalah memilih nahkoda, bahtera akan hanyut tanpa arah. Malah berisiko berkecai di tengah lautan bergelora.