Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pengerusi PH Kelantan, Senator Husam Musa, menolak pencalonan sekali gus menarik diri daripada pemilihan Amanah Kelantan yang akan berlangsung sempena Konvensyen Amanah negeri, esok.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Jawatankuasa Pemilihan Amanah negeri, Alawi Mohd Rashid kepada Malaysiakini, hari ini.

"Ya, beliau (Husam) menarik diri," katanya ringkas ketika diminta mengesahkan perkara itu.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Husam antara tokoh yang dicalonkan dalam senarai 53 calon kepimpinan Kelantan.

Selain Husam, turut tersenarai adalah anak bekas menteri besar Kelantan, Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Sementara itu, Setiausaha Amanah Kawasan Kota Bharu, Mohd Yusoff Yakob menjelaskan, Husam yang juga ketua Amanah bagi kawasan itu sudah menyatakan hasrat berkenaan sebelum ini.

"Memang beliau sudah maklumkan pada sesi mesyuarat kawasan Kota Bharu, sebelum ini.

"Beliau lebih memilih untuk mengekalkan jawatan sedia ada di peringkat negeri iaitu sebagai penasihat.

"Saya difahamkan terdapat lapan kawasan yang mencalonkan namanya untuk pemilihan negeri kali ini. Namun, beliau mungkin mahu fokus pada perkara lain," jelasnya.

Sebagai rekod, pada konvensyen negeri esok, perwakilan terlibat akan memilih 17 ahli jawatankuasa negeri sekali melantik pengerusi negeri yang baru.

Lihat Komen
ADS