Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr Mahathir: 'Saya pilih Umno kalau namanya tak rosak'

Perdana Menteri dan Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad menolak cadangan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dengan parti pembangkang Umno.

Kata beliau, ini kerana parti itu mempunyai reputasi melindungi pemimpin korup.

"Ya lah kalau dia apanama, tak rosakkan nama, saya pilih Umno lah

"Tapi pasal dia (Annuar Musa) dengan kawan-kawan dia Najib (Razak) guna Umno untuk cari duit. Takkan saya nak masuk parti macam itu," kata Mahathir ketika ditanya mengenai gesaan Setiausaha Agung Umno Annuar Musa supaya beliau memilih antara Umno dan DAP untuk kekal berkuasa.

Cadangan kerajaan perpaduan diutarakan bekas menteri dan MP Arau Shahidan Kassim.

Najib sekarang menghadapi perbicaraan di mahkamah dalam tiga kes berkait skandal 1MDB - kes RM42 juta dana SRC International, kes RM2.28 bilion dana 1MDB dan kes mengubah laporan audit 1MDB.

Bagaimanapun, Dr Mahathir mengucapkan terima kasih atas sokongan Umno dan PAS terhadap kepimpinannya.

"Apa yang saya tahu PAS juga kata mereka mahu sokong saya, terima kasih. Umno pun kata mereka mahu sokong saya, terima kasih. Saya tidak tahu siapa lagi yang tidak sokong saya.

"Tapi kalau mereka tak sokong saya, mereka boleh saja bawa usul tidak percaya terhadap perdana menteri dan saya akan mematuhi peraturan," katanya lagi.

Kerajaan perpaduan tak masuk akal

Mahathir bercakap kepada media petang tadi selepas merasmikan Konvensyen Alumni Malaysia Future Leaders School di Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi, Selangor.

Bersama beliau ialah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang turut sama menolak idea kerajaan perpaduan dan berkata "ia tidak masuk akal."

"Kami sebahagian daripada PH, gabungan yang menang PRU14 dan kami di sini (memerintah) pada hari ini kerana PH.

"Jangan lupa (mereka) ini pemimpin sama yang merompak dana Malaysia, (dan) sekarang sedang dituduh di mahkamah. Sejumlah lebih 100 pertuduhan tetapi mereka masih memimpin gabungan dan parti yang sama," katanya ketika ditanya pemberita.

Syed Saddiq yang juga ketua Pemuda PH menggesa merajaan untuk tetap memberi keutamaan berkhidmat kepada rakyat dan tidak membentuk kerajaan baru.

"Saya rasa, jika ada, orang ramai kecewa dengan perebutan kuasa. Lebih penting untuk fokus terhadap isu-isu sebenar rakyat.

"Anak muda mahukan pekerjaan, perumahan dan kos sara hidup ditangani. Mari kita fokus pada isu itu dan bukan kerajaan perpaduan atau satu lagi kerajaan yang hendak dibentuk.

"Mereka (pembangkang) boleh kata apa saja yang mereka mahu tetapi kami dalam kerajaan perlu fokus," jelasnya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS